SEMARANG: Kembara Muhibah yang digerakkan di Beting Maro disifatkan signifikan kerana ia menjadi platform menyantuni penduduk kampung, sekali gus menghulurkan sumbangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Darul Ulom Kalok Yusuf Sail berkata, program santai bergerak ke Kampung Batang Maro, Spinang dan Semarang.

“Saya kagum melihat kesediaan ahli JKP masjid serta pasukan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Muton Undai untuk meluangkan masa menjayakan program kemasyarakatan ini yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim penduduk.

“Selain dapat mendekati orang kampung, kembara ini membolehkan kami serta penduduk di tiga kampung saling berkongsi pandangan.

“Seperkara lagi, kembara ini juga merupakan platform untuk kami berkongsi sedikit sebanyak khususnya kepada JKP Masjid Darul Ihsan,” katanya seusai program Kembara Muhibah di sini baru-baru ini.

Katanya, Masjid Darul Ulom Kalok menghulurkan sumbangan RM2,000 kepada Pengerusi JKP Masjid Darul Ihsan Sahadan Matrang.

“Selain itu, RM1,900 lagi hasil sumbangan jemaah masjid. “Kita juga menyumbang air minuman dan barangan untuk pembersihan bagi Masjid Kampung Spinang,” ujarnya.

Sementara itu Ketua PDM Muton-Undai Mohidin Bolhassan mengakui aktiviti santai seumpama ini wajar diteruskan dengan penglibatan lebih ramai terutama semua masjid dalam Dun Beting Maro.

“Saya harap Kembara Muhibah akan menjadi satu lagi bukti perpaduan penduduk dalam Dun Beting Maro khususnya anak muda,” jelasnya.

Tambahnya, usaha sebegini akan menggalakkan mereka untuk bersama-sama mengimarahkan masjid.