HAMPIR sembilan bulan kita berada dalam kehidupan kelaziman baharu.

Dalam tempoh yang sama, ramai yang terjejas dari aspek kesihatan dan sosioekonomi.

Ironinya, sehingga kini belum ada bayangan jelas, apabila situasi sukar ini akan berakhir.

Vaksin yang kini tular di media massa, entah bila akan sampai ke Malaysia.

Rakyat terus menanti dengan sabar. Namun derita akibat Covid19 semakin jelas dan ketara, sehingga ada yang telah berputus asa.

Wang dalam simpanan, mungkin telah habis dikeluarkan.

Emas di badan, mungkin telah beralih ke pajak gadai.

Situasi ini hanya marhaen yang tahu.

Persoalannya sekarang, di manakah wakil rakyat kita?

Jawapannya mudah, iaitu ‘ada’.

Namun, segelintir daripada mereka masih bercakaran untuk berada di puncak kuasa.

Pun begitu, lidahnya selalu menyebut ‘demi rakyat’ dan ‘untuk rakyat’.

Kendatipun, masih ada yang jujur dan ikhlas untuk mengerti kesusahan rakyat.

Ketika situasi semakin meruncing, rakyat tentunya memerlukan pembelaan dan bantuan.

Selain bantuan bersasar yang disalurkan oleh kerajaan, ramai yang mengintai wang yang disimpan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sehingga kini, ramai yang mendesak agar pengeluarnya dipermudahkan.

Di satu pihak, ada yang berkata, wang KWSP sepatutnya digunakan untuk tujuan persaraan, dan bukannya untuk menimbal kesan Covid-19.

Mereka turut mencadangkan, agar kerajaan memperbanyak program bantuan, serta mengenakan cukai kepada syarikat yang mendapat durian runtuh akibat pendemik.

Pandangan tersebut mungkin ada kewajaran.

Namun bagi marhaen, bantuan yang disalurkan tidak mencukupi untuk meneruskan hari-hari mendatang.

Tambahan pula, ada yang memerlukan suntikan modal bagi memulakan perniagaan yang terjejas.

Justeru, mengeluarkan wang simpanan di KWSP tetap dilihat sebagai pilihan yang tepat.

Oleh itu, ramai yang menarik nafas lega, apabila Menteri Kewangan mengumumkan kemudahan pengeluaran i-Sinar KWSP, dalam pembentangan belanjawan yang lepas.

Namun kegembiraan tersebut tidak lama, apabila pencarum dihambat dengan pelbagai kriteria yang menyusahkan.

Hal ini disebabkan, kriteria yang ditetapkan seperti yang disiarkan pada 26 November 2020, hanya bagi mereka yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji.

Kenyataan tersebut mengundang bantahan dalam kalangan marhaen, khususnya di media sosial yang mahukan pengeluaran i-Sinar, dibuka kepada semua ahli.

Sehingga awal bulan ini, polemik tersebut ternyata belum berakhir walaupun KWSP dalam kenyataannya pada 2 Disember lepas, menyatakan i-Sinar dibuka kepada semua ahli yang layak.

Hal ini disebabkan, kriteria yang ditetapkan masih meresahkan rakyat untuk mengeluarkan wang simpanan hasil titik peluh mereka sendiri.

Rentetan daripada itu, dalam kenyataan media 7 Disember 2020, KWSP tetap dengan pendirian bahawa tiada perubahan terhadap kriteria semasa i-Sinar.

Pun begitu, 8 juta ahli yang layak memohon di bawah Kategori 1, akan diberikan kelulusan secara automatik tanpa memerlukan sebarang dokumen sokongan.

Bagi marhaen, kriteria yang ditetapkan oleh KWSP walaupun seketat mana sekalipun tetap memberi manfaat kepada ahlinya.

Persoalannya sekarang, bagaimana dengan nasib pekerja yang tidak mencarum dengan KWSP?

Di manakah mereka boleh bergantung harap, dalam menghadapi situasi sukar ini?

Persoalan ini mungkin nampak kecil berbanding 8 juta suara ahli KWSP.

Pun begitu, membiarkan golongan ini terkapai-kapai tanpa bantuan akan memberi impak yang cukup besar kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.

Berpandukan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia sehingga 13 Mac 2020, jumlah tenaga buruh di Malaysia adalah seramai 15.32 juta.

Sekiranya ahli KWSP dianggarkan sekitar 8 juta dan 1.6 juta merupakan kakitangan awam, ini bermakna tenaga kerja yang tidak mempunyai KWSP dan skim pencen seramai 5.72 juta.

Sehubungan itu, selain memikirkan suara 8 juta ahli KWSP, kerajaan juga perlu mengambil kira kebajikan 5.72 juta tenaga buruh tanpa KWSP.

Golongan ini ternyata lebih terkesan dan mungkin mengalami pengurangan gaji serta kemudahan daripada majikan.

Justeru dalam hal ini, bukan hanya persoalan KWSP yang harus diperjuangkan oleh sesetengah wakil rakyat.

Banyak lagi isu kebajikan lain yang perlu ditangani secara berhemah dan bijaksana, termasuk golongan pelajar, mahasiswa, orang kelainan upaya, golongan rentan dan sebagainya.

Sehubungan itu, hentikan desakan terhadap KWSP dan memohonlah mengikut kriteria yang ditetapkan.

Di sisi lain, pengeluaran i-Sinar bukan bertujuan memenuhi kehendak peribadi, namun bertujuan untuk menimbal keperluan hidup yang terkesan akibat pendemik Covid19.

Bagi mereka yang layak mengeluarkan KWSP, manfaatkan wang tersebut untuk kesejahteraan keluarga.

Bagi yang tidak memerlukan, usah gunakan peluang ini untuk mengurangkan jumlah simpanan anda.

Hal ini dikatakan sedemikian kerana yang dibelanja akan habis dan yang disimpan akan bertambah.

Dilah Tuah ialah ahli akademik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.