KOTA SAMARAHAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan hampir RM300 juta untuk pembangunan kesihatan di Sarawak. Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata, peruntukan itu diluluskan menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan awal bulan lalu.

“Banyak yang kita lakukan untuk kemudahan kesihatan di Sarawak yang dilaksanakan dalam rancangan boleh pinda. “Salah satunya kita akan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak dan tempat letak kereta bertingkat di Hospital Umum Sarawak (HUS) selain membaik pulih beberapa klinik di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Jantung Sarawak di sini pada Selasa..

Katanya, peralatan kesihatan di HUS turut diselenggara dan dinaik taraf. “Kita juga sedang membina makmal bank darah bersepadu yang beroperasi pada Mac tahun depan.

“Malah, baik pulih pagar di Hospital Dalat dengan kos yang sudah diluluskan manakala Klinik Kesihatan Oya juga dibaik pulih demi keselesaan para pesakit dan pelawat,” jelasnya.

Katanya lagi, pembinaan Klinik Kesihatan Spaoh juga diluluskan dan kerja pembinaan akan dilakukan selepas tender dibuka pada 2022.

“Kita juga membekalkan sebuah mesin MRI dengan teknologi terkini untuk Hospital Jantung Sarawak dan mesin spect bagi mengendalikan kanser untuk HUS yang sedia digunakan.

“Selain itu, bagi meningkatkan kecekapan ujian Covid-19, JKN ingin membeli peralatatn kesihatan terutamanya untuk kegunaan Hospital Limbang dan Lawas kerana kawasan berkenaan agak sukar keluar-masuk apabila bersempadan dengan Brunei,” ujarnya.

Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing.