KUCHING: Sarawak berada di kedudukan ketiga berkaitan dengan masalah kesihatan mental di seluruh Malaysia, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurutnya, terdapat 14.1 peratus rakyat di negeri ini mengalami masalah kesihatan mental selepas Perak (19 peratus) dan Perlis (14.9 peratus).

“Keseluruhan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanakkanak berusia lima hingga 15 tahun di Malaysia sebanyak 7.9 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) 2019/2020 di Bangunan Baitul Makmur II di sini pada Selasa.

Fatimah menambah, perkhidmatan telekaunseling melaporkan sebanyak 273 kes diterima sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19.

“Kes bimbingan merekodkan jumlah tertinggi iaitu 114 kes atau 48.10 peratus. Selain itu, turut dilaporkan sepanjang tempoh itu, kebanyakan masyarakat menghadapi kebimbangan iaitu sebanyak 51 kes (21.52 peratus) diikuti isu kerjaya (8.44 peratus), keluarga (5.91 peratus), kewangan (5.06 peratus) dan tekanan (4.64 peratus),” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Fatimah menjelaskan statistik dan tren kehamilan remaja antara agenda dibincangkan dalam mesyuarat itu.

“Secara keseluruhan sejak tahun 2016, statistik kehamilan remaja di Sarawak menunjukkan penurunan dari segi bilangan kes dan peratusan kehamilan remaja hamil serta jumlah kes baharu antenatal.

“Pada tahun 2016, jumlah remaja hamil adalah sebanyak 2,481 menurun kepada 1,967 pada 2019, mengalami penurunan sebanyak 514 kes atau bersamaan 21 peratus.

“Setakat September tahun ini pula, jumlah remaja hamil hanya melibatkan 1,668 orang. Namun, kita berasakan masih banyak lagi penurunan yang perlu dilakukan,” ujarnya.