KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil alih Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub mulai tahun depan untuk diuruskan Majlis Islam Sarawak (MIS), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, selepas pelajar menamatkan pembelajaran berteraskan al-Quran di peringkat rendah di sekolah berkenaan, sekolah menengah yang sama juga dirancang akan dibangunkan dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Kita mewujudkan sekolah menengah dengan kerjasama Madrasah Al-junied Al-Islamiah Singapura dan mengguna pakai sukatan pelajaran bertaraf antarabangsa.

“Kita menyedari Madrasah Al-junied Al-Islamiah menjalinkan kerjasama dengan universiti terkemuka.

Ia memberikan arah tuju jelas kepada anak Sarawak kerana berpeluang menuntut ilmu agama dengan status antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan sambutan ulang tahun ke-10 Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub di sini, semalam.

Menurut Abang Johari, program pertukaran guru turut diadakan bagi memastikan sekolah itu mendapat input daripada individu profesional.

Abang Johari yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) memberitahu, sekolah agama berkenaan dipilih menjadi sekolah tahfiz pertama mengikuti model berkenaan.

“Pentadbiran dan pengurusannya dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada Majlis Islam Sarawak kerana kos operasinya yang mahal.

“Bagi pelan jangka panjang pula, ia menjadi tunjang kepada sebuah institusi tahfiz antarabangsa sealiran Madrasah Al-junied Al-Islamiah dan mempunyai piawaian bahasa Arab, keilmuan Islam serta al-Quran yang tinggi,” jelasnya.

Tambah Abang Johari, kemasukan ke sekolah menengah berkenaan sangat ketat kerana mengguna pakai sukatan antarabangsa.

“Malah kita menggalakkan sekolah tersebut membangunkan bidang pembangunan dan penyelidikan (R&D) kerana Sarawak mempunyai banyak sumber untuk diketengahkan sebagai produk.

“Ini kerana matlamat kita untuk melahirkan generasi yang berdaya saing, hafal al-Quran dan tinggi akhlaknya,” ujarnya.

Hadir sama Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan NegeriPersekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.