KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 daripada 64 projek jalan luar bandar (PJLB) yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi Sarawak siap sepenuhnya. Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar ll Datuk Henry Sum Agong (gambar) berkata, 39 projek lagi dalam peringkat pelantikan perundingan reka bentuk, tiga projek di peringkat perolehan dan sembilan dalam peringkat pembinaan.

“Kementerian juga meluluskan empat projek jalan perhubungan desa berjumlah RM1.57 juta di Parlimen Kota Samarahan bagi 2020.

“Setakat Oktober lalu, dua daripadanya siap sepenuhnya dan dua projek sedang dalam peringkat pelaksanaan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan daripada Rubiah Wang (GPSKota Samarahan) mengenai pencapaian dan tindakan terkini kementerian untuk menambah infrastruktur kawasan luar bandar seperti bekalan air, bekalan elektrik, kemudahan sosial dan jalan perhubungan khasnya di Kota Samarahan.

Henry berkata, bagi program kemudahan sosial, tiga projek berjumlah RM1.25 juta diluluskan di Parlimen Kota Samarahan bagi tahun 2020.

Beliau berkata, setakat 25 Oktober lepas, satu daripada projek tersebut siap sepenuhnya, manakala dua lagi dalam peringkat pelaksanaan.

Henry turut memaklumkan sejumlah RM285.6 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek bekalan elektrik luar bandar di Sarawak 2020, melibatkan 16 projek yang menyalurkan bekalan elektrik kepada 3,200 rumah. – Bernama