SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Sibuberjaya merampas minuman keras, rokok dan mercun pelbagai jenama yang dipercayai tidak  berkastam dengan anggaran nilai cukai sebanyak RM468,814.58 dalam satu serbuan di sebuah permis yang beralamat di Wisma Megah, Jalan Kapit By Pass, awal bulan ini.

Pengarah Kastam Sarawak, Herman Shah Abdullah berkata, dalam serbuan itu sebanyak 16,880.76 liter bir, 243 liter minuman keras, 312,640 batang rokok dan 21.40 kilogram bunga api daripada pelbagai jenama dirampas dengan anggaran nilai sejumlah RM119,469.41.

“Dalam serbuan berasingan pada hari yang sama pada jam 2.30 petang, sepasukan anggota berjaya merampas sejumlah bir di sebuah permis di Taman Ixora, Jalan Selirik Kapit.

“Dengan anggaran cukai sejumlah RM44,107.83, sebanyak 2,890.80 liter bir berjaya dirampas yang melibatkan anggaran nilai sebanyak RM13,099.16,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Herman, Orang Yang Disyaki (OYDS) bagi kedua-dua serbuan telah ditahan bagi siasatan lanjut. Kedua-dua mereka adalah lelaki warta tempatan dalam lingkungan usia 48 hingga 50 tahun.

Jelasnya, modus operandi serbuan mendapati individu yang terlibat disyaki menyimpan barangan tidak berkastam di permis berkenaan untuk dijual kepada pelanggan sekitar kawasan Kapit.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barangan  larangan di mana jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari sepuluh kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Barang rampasan Kastam dalam dua Serbuan di Kapit