KUCHING: Kejayaan menerima Anugerah WEP Wanita Malaysia Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) oleh Dr Ida Fati-mawati Adi Badiozaman perlu dicontohi generasi seterusnya, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Fatimah yang juga ibu kepada Dr Ida meluahkan rasa gembira dan bersyukur atas pencapaian yang diterima anak perempuannya itu.

“Kesungguhan, komitmen dan disiplin yang ada pada dirinya perkara yang perlu dicontohi generasi seterusnya terutama anak mereka.

“Untuk berjaya dalam bidang pendidikan, ia perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, berdisiplin serta mempunyai hala tuju yang jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Ziarah Keluarga Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) di Kampung Selipar Putus di sini, semalam.

Menurutnya, kejayaan yang dicapai Dr Ida memerlukan pengorbanan dari segi masa terutama bersama-sama keluarga.

“Sekiranya tiada persefahaman dan sokongan keluarga, kejayaan itu mungkin sukar untuk dicapai.

“Malah, saya dan suami gembira kerana kini beliau sudah semakin berminat untuk menceburi aktiviti kemasyarakatan, berjumpa dengan golongan wanita khasnya wanita miskin.

“Golongan ibu tunggal yang menceburi bidang perniagaan, menyelami kesukaran serta cabaran yang dihadapi mereka,” jelasnya.

Fatimah berharap usaha Dr Ida dalam kesamarataan dan keadilan jantina akan terus subur supaya dapat membantu wanita Sarawak memperkasakan diri mereka.

Profesor Madya Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak itu menerima Anugerah PBB WEP Wanita Malaysia bagi Kategori Penglibatan Industri dan Komuniti.

Anugerah bagi kesaksamaan jantina dan memperkasakan wanita atau dikenali sebagai Wanita UN itu merupakan inisiatif pertama untuk menghargai pengamal perniagaan bagi kesaksamaan jantina.

Penyertaan tersebut turut disertai beberapa negara seperti China, India, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam pada November lalu serta berpeluang sebagai pemenang wilayah Asia Pasifik untuk Anugerah WEP Wilayah Asia Pasifik.