KUALA LUMPUR:  Isu undi tidak percaya dan pengundian belah bahagian untuk beberapa kementerian sebelum peruntukan Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat jawatankuasa menghangatkan persidangan Dewan Rakyat, minggu ini.

Bertitik tolak daripada kemelut politik di Perak yang menyaksikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan pada 5 Dis, selepas tidak mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen pembangkang turut membangkitkan usul sama terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Rata-rata Ahli Parlimen pembangkang menjadikan situasi politik di Perak sebagai cubaan untuk menyegerakan pembentangan 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

Perkara itu dibangkitkan oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) sebelum sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada Selasa lepas, dan ia sekali lagi dibangkitkan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri semalam.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan ketika menjawab perkara itu, berkata walaupun usul itu telah tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat mengikut Peraturan Mesyuarat 26(1) dan 27(3), namun ia bukan merupakan sesuatu usul yang perlu disegerakan.

-“Saya suka menjelaskan bahawa kita tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 14 dan 15. Peraturan Mesyuarat 15(1) dengan jelas menyatakan urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain memandangkan tidak ada langsung bentuk yang menggambarkan Yang Berhormat Pagoh hilang kepercayaan.

“Kerajaan berpandangan usul-usul ini merupakan satu usul yang melibatkan sesuatu yang tertentu dan kepentingan orang ramai, saya percaya dewan menganggap itu bukan satu perkara yang perlu disegerakan. Oleh sebab itu, usul-usul ini kekal di dalam Aturan Urusan Mesyuarat tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 14 dan 15,” jelas beliau.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun pula meminta Ahli Parlimen merujuk sendiri amalan dan konvensyen Westminster yang diikuti oleh negara ini yang menyatakan bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat sememangnya tidak mempunyai kuasa untuk menaikkan usul undi tidak percaya itu kepada giliran pertama.

Persidangan dewan juga menyaksikan peruntukan Belanjawan 2021 bagi 11 kementerian yang dibahas dan digulung minggu ini lulus di peringkat jawatankuasa dengan empat daripadanya melalui undian belah bahagian, yang kesemuanya mendapat sokongan lebih 100 Ahli Parlimen.

Bermula Isnin, peruntukan bagi Kementerian Pengangkutan diluluskan selepas undi belah bahagian, yang menyaksikan 109 Ahli Parlimen menyokong, 94 tidak setuju dan 17 tidak hadir, manakala pada Selasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pula lulus dengan 109 Ahli Parlimen menyokong berbanding 96 yang tidak bersetuju dan 15 tidak hadir.

Turut melalui undi belah bahagian ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (106 Ahli Parlimen menyokong; 96 tidak bersetuju; 18 tidak hadir) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (107 sokong; 100 tidak sokong; 13 tidak hadir).

Peruntukan belanjawan bagi tujuh kementerian iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Kerja Raya; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Alam Sekitar dan Air; Kementerian Kesihatan; Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Sumber Manusia dilulus dengan undian suara majoriti.

Peruntukan belanjawan bagi lima kementerian lagi dijadual dibahas untuk kelulusan di peringkat jawatankuasa pada minggu terakhir persidangan bermula Isnin (14 Dis).

Turut menjadi perhatian pada minggu keenam ialah peruntukan bagi Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang menyaksikan usul pengurangan peruntukan bagi perluasan jabatan itu berjumlah RM45 juta daripada RM81.5 juta seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021, diluluskan di Dewan Rakyat.

Usul pindaan terhadap peruntukan berjumlah RM164,151,656,800 kepada RM164,106,656,800 dalam Fasal 2 Rang Undang-undang Perbekalan 2021 itu dicadang Timbalan Menteri Kewangan Datuk Abd Rahim Bakri sebelum giliran perbahasan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia semalam.

Dewan Rakyat bagaimanapun menolak usul memotong sepenuhnya peruntukan RM81.5 juta bagi perluasan Jasa dan RM4 juta bagi jabatan itu yang dibawa lima Ahli Parlimen pembangkang — Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya); Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran); Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai); Fuziah Salleh (PH-Kuantan); dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun).

Turut ditolak ialah usul pemotongan peruntukan bagi Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) berjumlah RM8.6 juta dalam Belanjawan 2021 bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dikemukakan empat Ahli Parlimen pembangkang.

Usul itu dibuat oleh Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim); Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) dan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) serta Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) dengan alasan antaranya peruntukan itu tidak mendesak dan bermotif politik.  — BERNAMA