KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak disaran membuka kaunter permohonan bantuan di Flat KMC, Jalan Padungan bagi membantu golongan yang layak dan memerlukan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, terdapat penduduk di flat itu benar-benar susah tetapi tidak pernah memohon bantuan JKM kerana kurang pengetahuan.

“Saya mengambil cadangan Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng untuk meminta JKM membuka kaunter permohonan bantuan di sini kelak.

“Saya percaya, sukar untuk mereka hendak pergi ke pejabat JKM, apatah lagi memohon secara dalam talian.

Justeru pihak kami perlu turun padang dan bekerjasama dengan MBKS bagi melaksanakan program ini.

“Pada hari pembukaan kaunter itu kelak, penduduk di sini berpeluang memohon bantuan bersesuaian dengan kategori mereka terutama ibu tunggal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Ziarah Keluarga Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) dengan kerjasama Food Aid Kuching di Flat MBKS, di sini, semalam.

“Namun itu bukan bermaksud semua penduduk di sini akan mendapat bantuan.

Kita akan meneliti dan melihat mereka yang layak dan benar-benar memerlukannya.

“Contohnya saya berjumpa dengan ibu tunggal yang ditinggalkan suami tetapi tiada surat cerai dan beliau mempunyai ramai anak-anak yang masih bersekolah serta belum pernah memohon bantuan JKM, kes beginilah yang perlu kita bantu,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan penduduk yang mempunyai masalah membayar sewa bulanan di flat itu untuk memohon bantuan skim bayaran sewa kediaman golongan miskin melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang disediakan Kerajaan Persekutuan.

“Menurut MBKS, ada penduduk tidak mampu membayar sewa bulanan kerana tiada pendapatan tetap, malah saya mendapat tahu Wee sendiri telah membantu sekitar 25 keluarga membayar sewa mereka menggunakan duit peribadi beliau.

“Kita berharap penghuni di sini yang betul-betul mempunyai kesukaran menggunakan sepenuhnya bantuan ini dan mula memohon tahun depan,” tambahnya.

Mengulas mengenai program ziarah itu, Fatimah berkata, 25 keluarga di Flat KMC mendapat bantuan berupa makanan asas yang disumbangkan Food Aid Kuching dan JKM untuk keluarga miskin terutamanya ibu tunggal, OKU dan mereka yang terjejas pendapatan akibat Covid-19.

Pengarah JWKS Noriah Ahmad, Wee Hong Seng dan Ahli Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak Raja Noor Raja Akmar turut hadir.