SERIAN: Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom yakin Sarawak berada pada landasan betul bagi memastikan keseluruhan penduduk di negeri ini dapat menikmati bekalan elektrik menjelang 2025.

Menurutnya, tahun ini mereka menyasarkan sebanyak 97 peratus keseluruhan kawasan di negeri ini diberikan bekalan elektrik.

“Bagaimanapun, sasaran itu tidak dapat dicapai sepenuhnya ekoran pandemik Covid-19 melanda dunia termasuk Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Utiliti Kampung Merakai, di sini pada Khamis.

Tambahnya, kawasan bandar dan pinggir bandar, ia mendapat bekalan elektrik 100 peratus. “Kita cuma perlu bekerja dan berusaha lebih keras lagi untuk kawasan luar bandar,” ujarnya.

Selain itu jelas Dr. Rundi, usaha untuk membekalkan air terawat khususnya di kawasan bandar lebih mencabar kerana bukan sahaja perlu berhadapan dengan masalah infrastruktur seperti jalan raya malah terdapat paip lama yang uzur. “Ia tidak sesuai lagi digunakan untuk tujuan pembekalan air terawat dan bersih ke kawasan yang berkenaan.

“Keadaan seperti ini secara tidak lansung menyumbang kepada situasi air tidak terhasil yang sudah pasti mendatangkan kerugian kapada penduduk di kawasan berkenaan. “Malah, kira-kira 52 peratus kawasan luar bandar mempunyai masalah NRW dan berharap agar dapat menurunkan kadarnya kepada 25 peratus,” jelasnya.

Beliau menegaskan, sistem alternatif diperlukan untuk memastikan bekalan utiliti di kawasan luar bandar dapat dilaksanakan dengan baik sama seperti kawasan bandar. “Jika ia tidak dapat dilakukan sekarang kita perlu mencari alternatif supaya dapat melaksanakannya pada masa hadapan.

“Jika tidak boleh disambung grid sedia ada kita laksanakan kemudahan yang boleh beroperasi sendiri seperti sistem bekalan air alternatif Sarawak untuk bekalan air dan Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (Sares).

“Ia juga menggunakan kuasa solar untuk membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk yang tidak dapat dihubungkan dengan grid bekalan sedia ada,” jelasnya lagi.

Sebagai rekod, untuk memastikan hasrat membekalkan kemudahan air dan elektrik kepada penduduk luar bandar Kerajaan Sarawak memperuntukkan kirakira RM2.73 bilion bagi projek bekalan elektrik dan kira-kira RM4 bilion untuk projek bekalan air luar bandar.