KUCHING: Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) berjaya menghalau lapan orang Pendatang Tanpa Izin (Pati) semasa melakukan rondaan di kawasan sempadan Malaysia/Indonesia sejak tiga hari lalu (10 Disember hingga 12 Disember).

Jurucakap Markas 1 Div berkata, pada 10 Disember lalu sekitar jam 3 petang sepasukan anggota telah menahan dua orang Pati yang berasal dari Kampung Jangkang, Indonesia di lorong-lorong tikus sekitar sektor Balai Ringin.

Antara Pati yang ditahan oleh pasukan Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div)

“Pada tarikh yang sama, jam 11 malam, pihak kita juga berjaya menahan lima orang Pati berasal dari Entikong cuba menyelinap masuk dari sekitar Sektor Tebedu.

“Laporan polis telah dibuat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam kes ketiga pula, berlaku hari ini sekitar jam 12 tengah hari, seorang Pati nekad berjalan menuju ke arah Pos Sekatan Jalan Raya (SJR) Serikin sebelum di tahan oleh anggota keselamatan.

“Setelah diperiksa, Pati berkenaan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.

Kesemua kes menyatakan ingin pergi ke Bandar Raya Kuching untuk mencari pekerjaan dan telah diusir balik ke Indonesia.

Sejak awal hingga pertengahan Disember ini, sebanyak lima kes yang melibatkan 15 orang Pati diusir dari negara ini.