KUCHING: Sarawak memperluaskan kawasan hutannya untuk program ‘Heart of Borneo’ iaitu program kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Brunei, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, semalam.

Katanya, sebelum ini kawasan yang diperuntukkan untuk program itu adalah seluas 2.1 juta hektar dan diperluaskan kepada 2.7 juta hektar, meliputi kawasan hutan di Lundu/Sematan di selatan hingga ke daerah Limbang dan Lawas di sebelah utara Sarawak.

“Tujuan program Heart of Borneo adalah bagi memelihara biodiversiti menerusi rangkaian kawasan hutan lindungan, pengurusan hutan dan pengunaan tanah secara mampan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Jabatan Hutan Sarawak dan pelancaran laman sesawang baharu jabatan berkenaan di sini.

Mengulas mengenai Pelan Pengurusan Taman Negara, beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, berkata Jabatan Hutan Sarawak turut meningkatkan sistem pengurusan 41 buah taman negara yang sudah diwartakan di negeri ini.

Katanya, setakat ini hanya 11 daripada 41 taman negara di negeri ini sudah memiliki pelan pengurusannya sendiri dan jabatan hutan negeri menyasarkan untuk melaksanakan pelan pengurusan untuk tiga hingga empat buah taman negaranya setiap tahun.

Awang Tengah berkata Jabatan Hutan Sarawak turut dibekalkan dengan alat pengesan termasuk sebuah pesawat udara untuk kerja-kerja penyelidikan, pemantauan dan penguatkuasaan, khususnya dalam memerangi pembalakan haram.

“Jika pembalakan haram tidak dibendung, ia bukan sahaja akan menjejaskan sumbangan hasil kepada kerajaan tetapi akan mendatangkan banyak masalah kepada alam sekitar, terutama mencemarkan sumber air di kawasan tadahan air.

Katanya, tumpuan perlu diberikan kepada program penanaman hutan supaya sumber kayu untuk menyokong industri kayu kayan tidak akan bergantung sepenuhnya kepada kayu-kayu yang didapati dari hutan asli sahaja.

Menurut beliau, Sarawak telah berjaya mengekalkan tidak kurang daripada 7.9 juta hektar atau kira-kira 63 peratus daripada keseluruhan negeri itu dengan diliputi hutan hasil dari dasar guna tanah komprehensif kerajaan negeri untuk mengekalkan sekurang-kurangnya sejuta hektar untuk kawasan hutan dilindungi sepenuhnya (TPA) dan enam juta hektar lagi sebagai hutan kekal.

“Penstrukturan semula Jabatan Hutan dan SFC juga dilaksanakan sejak Januari lalu untuk memastikan pengurusan hutan dan pengawal hidupan liar dapat diberi fokus agar lebih efektif.

“Melalui penstrukturan semula ini, Jabatan Hutan dapat memberi fokus dari segi pentadbiran dan pengurusan, sementara SFC akan menjurus kepada usaha pengawalan biodiversiti dan hidupan liar,” katanya.– BERNAMA