KUCHING: See Chee How cuba menafikan usaha Kerajaan Sarawak untuk mendapatkan bukan sahaja hak penglibatan negeri ini dalam industri minyak dan gas tetapi juga merancakkan lagi pembangunan industri tersebut.

Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata demikian selepas Adun Batu Lintang itu mengkritik usaha Kerajaan Sarawak mengenai Perjanjian Penyelesaian Komersial yang dimeterai dengan Petronas awal bulan ini.

Menurutnya, perjanjian komersial yang dimeterai pada 7 Disember lalu membolehkan Petros memainkan peranan lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan Petronas, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini.

“Namun, menerusi kenyataannya, Chee How seolah-olah mahu Kerajaan Sarawak mengambil tindakan drastik, agresif dan tidak mahu berunding tanpa mengambil kira faktor-faktor lain.

“Bukan semudah itu untuk kita terus mengambil alih tugas Petronas,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Timbalan Ketua Pemuda PBB itu berkata, Chee How harus faham perkara sedemikian bukan mudah untuk dilaksanakan kerana Malaysia mempunyai proses undang-undang.

“Jika senang untuk dilakukan tanpa memikirkan faktor ‘masa’ seperti yang didesak oleh Chee How, kenapa semasa berada dalam Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan, beliau tidak melaksanakan perkara ini sedangkan ia tercatat dalam manifesto Pakatan Harapan?

“Kerajaan Sarawak mengambil langkah selamat dan bijaksana serta mempertimbangkan pelbagai faktor sebelum membuat keputusan mengikut kemampuannya supaya rakyat Sarawak akan mendapat manfaatnya,” ujarnya lagi.