SERIAN: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mengalu-alukan Adun Opar, Datuk Ranum Mina untuk kembali menyertai gabungan ini, kata Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Michael Manyin Jawong.

Katanya, Ranum pernah menyertai mereka dalam beberapa pertemuan untuk mempersiapkan diri dalam pilihan raya sebelum beliau beralih arah bersama Parti Sarawak Bersatu (PSB).

“Saya berharap beliau akan berubah fikiran pada saat akhir dan menyertai kita dalam GPS untuk memenangi keseluruhan lapan kerusi Bidayuh,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Gereja St Paul Kampung Tema Saan yang telah siap dinaik taraf di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ranum menegaskan bahawa beliau akan sentiasa bersama PSB dalam apa jua keadaan.

Sementara mengulas mengenai calon baru untuk mewakili kerusi masyarakat Bidayuh, Manyin yang juga Adun Tebedu berkata beliau masih belum pasti mengenai perkara itu.

“Kami sentiasa bermesyuarat bersama para Adun Bidayuh malah sejak sebelum bermulanya penularan Covid-19 di seluruh negara kerana kami cuba untuk mempersiapkan diri menghadapi PRN sejak setahun yang lalu,” katanya.

Manakala ditanya sama ada akan bertanding pada PRN akan datang, beliau tidak menjawab ya atau tidak sebaliknya hanya menyatakan dirinya sudah tua.

“Saya adalah yang paling tua di dalam kabinet buat masa sekarang.

“Malah baru-baru ini Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing ada bertukar pendapat dengan mereka yang menyatakan bahawa orang muda harus menggantikan mereka yang tua supaya idea baru dapat dikembangkan,” ujarnya.

PBB mempunyai lapan kerusi di kawasan masyarakat Bidayuh termasuk Tebedu, Tarat, Kedup, Bukit Semuja, Serembu dan Mambong, manakala kerusi Tasik Biru dimiliki oleh Parti Demokratik Progresif (PDP).