SETIU: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyasarkan semua projek pembinaan di seluruh negara, akan menggunakan sekurang-kurangnya 20 peratus bahan binaan berasaskan kenaf pada masa hadapan.

Menterinya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kini kementerian melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), sedang giat menjalankan perbincangan bersama pelbagai pihak, termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Kerja Raya, bagi merealisasikan hasrat tersebut.

“Sasaran itu memerlukan satu gerak kerja yang besar dan insya-Allah ia akan dapat direalisasikan.

“Salah satu kebaikan menggunakan kenaf dalam industri pembinaan adalah ia mesra alam, jadi langkah ini seiring dengan sasaran pembangunan dan penggunaan inovasi teknologi hijau yang ingin dicapai kerajaan selama ini,” katanya selepas melawat tapak pembinaan ruang pameran dan pejabat Sistem Binaan Berindustri (IBS) ‘Tasblock’ berasaskan kenaf, yang dibina LKTN di Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf, di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, menyedari tahap kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia terhadap kenaf masih rendah, pelbagai langkah telah diambil kementerian dalam memperkenalkan dan mempromosikan kegunaan spesies pokok berserat ini, antaranya penganjuran kursus pembinaan menggunakan fiber kenaf.

“Kenaf ini akan ada permintaan kalau penggunaannya meluas, jadi cara untuk kita luaskan kegunaan ialah menerusi pembinaan, kerana pembinaan ini tidak akan berakhir sama ada pembinaan rumah berskala kecil atau bangunan pejabat,” katanya.

Sementara itu katanya pembinaan ruang pameran dan pejabat yang menggunakan sistem IBS ‘Tasblock’ berasaskan kenaf yang dilawatinya pada hari ini adalah yang pertama di Terengganu, yang mana ia akan dijadikan pusat rujukan dan promosi kenaf sebagai komoditi baharu, dalam industri pembinaan.

Katanya kira-kira 600 kilogram fiber kenaf digunakan untuk membina ruang pameran dan pejabat berkeluasan 700 kaki persegi itu, dan ia dijangka mengambil masa hanya 30 hari untuk disiapkan dengan anggaran kos RM81,000. — BERNAMA