KUCHING: Pusat jualan sah Perodua yang baharu dibuka, Body and Paint Erazoom Parts and Service Center Sdn Bhd mengalu-alukan pelajar universiti yang berminat untuk menjalani latihan industri di pusat servis mereka.

Pengarah Urusannya Farizsalleh Mohd Ali berkata, Perodua bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kenderaan tetapi juga menyediakan latihan kepada pelajar tempatan dari universiti awam dan swasta.

“Kami memberi latihan kepada pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Kuching, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Politeknik Kuching dalam bidang latihan automotif, pemasaran, kemahiran pengurusan dan juga perakaunan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui setelah pelancaran pusat perkhidmatan di Lot 798, Blok 7, Jalan Bako, Industrial Park Demak Laut, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pelajar yang menjalani latihan di syarikat tersebut akan menjalani latihan selama enam bulan di bawah Perodua – sebuah syarikat kereta yang dikendalikan secara sistematik. “Sekiranya pelajar ingin bekerjasama dengan kami, kami bersedia mengambil mereka,” ujarnya.

Tambahnya, dengan pembukaan pusat perkhidmatan baharu ketika pandemik Covid-19, ia juga merupakan pertanda baik bahawa syarikat itu akan mengambil 20 hingga 30 kakitangan lagi. “Kami berjaya melakukannya kerana bantuan yang diberikan kerajaan di bawah Prihatin dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) untuk kakitangan,” jelasnya.

SEDIA… Pusat jualan Erazoom turut menawarkan perkhidmatan pertama di Sarawak untuk membaiki badan dan cat kereta.

Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu langkah yang diambil kerajaan membantu syarikat untuk mengurangkan beban mereka. “Memang, wabak ini mempengaruhi kita semua. Tetapi apa yang kami harapkan, pada tahun akan datang, ia menjadi tahun lebih baik bagi kita semua.

“Ia mempengaruhi ekonomi kita…semuanya dan kami berharap Covid-19 akan berakhir,” tegasnya.

Hadir sama Pengarah Ngu Chung Beng dan Sons Corporation Sdn Bhd Sibu Datuk Seri Peter Ngu Ung Yong, Pengarah Body and Paint Erazoom Parts and Service Centre Sdn Bhd Jaliha Mohd Nor dan Malinda Ahmad Mulana.