SERIAN: Dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Temong akan diberi insentif bagi mengiktiraf pencapaian mereka memenangi Anugerah Filem Terbaik Juri (Kategori Sekolah Rendah) di Brazil baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata kemenangan mereka adalah satu kebanggaan bukan sahaja kepada Sarawak malah bagi komuniti Bidayuh.

“Saya akan berjumpa dengan mereka untuk mengucapkan tahniah serta mengumumkan insentif bagi menambah jumlah hadiah yang dimenangi mereka.

“Pencapaian ini satu perkara yang amat membanggakan bagi komuniti Bidayuh kerana ia bukan pencapaian yang kecil tetapi anugerah di peringkat antarabangsa” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di rumah panjang Kampung Tema Saan selepas merasmikan Gereja St Paul yang telah siap dinaik taraf di sini, hari ini.

Sementara dalam sidang media, Manyin yang juga Adun Tebedu berkata SK Temong pernah memenangi anugerah dalam satu pertandingan peringkat negeri yang dianjurkan oleh kementeriannya pada dua tahun lalu.

Menurutnya, selain memenangi hadiah berjumlah RM2,000 daripada pertandingan itu, sekolah tersebut turut menerima tambahan RM10,000 pada tahun tersebut susulan daripada pencapaian mereka.

“Sekolah ini (SK Temong) boleh dikatakan sebagai sebuah sekolah terbesar di kawasan Tebedu dengan jumlah muridnya sekitar 200 orang.

“Saya banyak memberikan perhatian kepada SK Temong dan baru-baru ini juga, mereka menerima sembilan buah komputer dan sebuah mesin pencetak,” katanya.

Selain itu, Manyin berkata kementeriannya bercadang untuk menaik taraf SK Temong dengan membina sebuah lagi blok tambahan.

Dua murid SK Temong iaitu Macgres Sawet dan Nabiatul Dania Zulfiqa Mohd Zulfadhli melakar sejarah apabila filem pendek animasi mereka bertajuk Batuh Bijanji (The Promised Stone) memenangi Anugerah Filem Terbaik Juri (Kategori Sekolah Rendah) dalam Festival de Cinema Escolar de Alvorada (Fecea) di Brazil.