PADAWAN: Seorang penganggur ditangkap polis selepas menyerang dan mencederakan dua beranak menggunakan parang.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditangkap di hadapan rumahnya, Kampung Sinar Budi, Jalan Batu Kawa di sini sekitar jam 11.40 pagi hari ini.

Katanya pasukan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan turut merampas sebilah parang yang digunakan suspek.

“Suspek mengaku ada bergaduh dan menyerang pengadu menggunakan sebilah parang.

“Punca kejadian kerana suspek tidak berpuas dengan anak pengadu yang telah menyuruh orang masuk ke rumah suspek untuk mengambil barang milik suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aidil, berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pengadu, seorang lelaki berusia 55 tahun di Balai Polis Batu Kawa semalam, suspek telah menyerangnya dan anak lelakinya menggunakan parang menyebabkannya mengalami luka di lengan kiri.

Katanya kejadian yang berlaku di hadapan rumah suspek itu turut menyebabkan motosikal milik pengadu rosak disebabkan terkena parang yang dihayunkan oleh suspek.

“Suspek juga mengugut akan datang menyerang pengadu ke rumah dan akibat ditumbuk oleh suspek, anak pengadu juga mengalami bengkak di kepala,” katanya.