DALAT: Dahulunya terdapat sebuah kawasan di tengah-tengah pekan Dalat ditumbuhi dengan pokok-pokok yang tinggi dan ia dianggap seram oleh sebahagian penduduk yang melalui kawasan berkenaan.

Namun kini, hasil usaha penduduk dan Adun Dalat Datuk Seri Fatimah Abdullah kawasan tersebut telah dibangunkan agar lebih menyerlah untuk dijadikan kawasan rekreasi orang awam.

Kini ia telah dikenali dengan Taman Solidariti yang dilengkapi dengan tempat pejalan kaki dan tempat duduk untuk orang awam.

Difahamkan laluan pejalan kaki berbumbung akan diwujudkan di Taman Solidariti untuk memberi keselesaan pengunjung.

Semalam Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah merasmikan taman berkenaan dengan menanam pokok sebagai simbolik perasmian.

 

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Taman Solidariti merupakan lambang wujudnya toleransi kaum serta agama di Dalat.

Katanya, taman tersebut dirancang sebagai simbol perpaduan kaum utama yang wujud khasnya melalui empat kaum utama yang menjadi tulang belakang kawasan Dalat.

“Taman ini telah dirancang sebagai simbol kesatuan dan perpaduan dan terdapat empat sudut di taman ini mewakili empat kumpulan etnik utama iaitu Melanau, Melayu, Cina dan Iban yang diserlahkan melalui ukuran jubinnya,” katanya kepada Suara Sarawak.

Dalam majlis perasmian semalam setiap kaum turut diserlahkan melalui tarian tradiaonal dan pakaian tradisional masing-masing yang dipersembahkan oleh anak-anak muda di Dalat.

“Kita juga tidak mahu pokok-pokok ini ditebang meskipun pelbagai usaha dibuat. Adalah lebih baik kita indahkan kawasan ini agar orang ramai dapat memanfaatkannya sebagai kawasan rekreasi, tempat berniaga dan menjadi satu tempat pertemuan,” jelasnya lagi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka merasmikan Tebingan Dalat dan BazarNita Fatima pada 19 Disember ini.