MASYARAKAT Penan merupakan antara etnik minoriti yang sering diberi tumpuan oleh kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini, setaraf dengan kaum lain.

Malah etnik Penan sentiasa diberi peluang dan hak keistimewaan beberapa aspek dalam usaha untuk membantu mereka terus maju ke hadapan.

Tidak dinafikan, kebanyakan kejayaan yang dicapai oleh beberapa anak muda Penan di negeri ini juga merupakan hasil sokongan dan dorongan dari pelbagai pihak secara langsung dan tidak langsung.

Bahkan, kerajaan bukan sahaja memberi fokus bantuan dan keprihatinan mereka terhadap generasi yang masih belajar malah turut mengutamakan kebajikan ibu bapa dan etnik Penan yang lain.

Sebagai salah seorang anak etnik Penan, saya bersyukur dan amat menghargai segala jasa dan usaha yang dipertimbangkan kepada kaum ini dalam meneruskan kehidupan. Bagi saya, peranan dan usaha dari semua pihak yang terlibat dalam memastikan kaum ini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lain adalah langkah yang murni.

Dalam keghairahan menerima kemudahan dan keperluan yang disediakan, terselit kekhuatiran pada diri mengenai nasib generasi seterusnya, sekiranya masyarakat etnik Penan terus bergantung pada bantuan.

Saya sangat berharap agar suatu hari nanti kaum saya ini tidak melihat inisiatif yang diusahakan oleh pihak-pihak tertentu sebagai jalan mudah untuk melakar sesuatu yang diimpikan tanpa sebarang usaha. Banyak perkara yang perlu diusahakan oleh individu itu sendiri untuk mengubah keadaan dan corak kehidupan masyarakat ke arah yang lebih baik.

Antaranya, setiap orang dari masyarakat Penan perlu menanamkan budaya berdaya saing dalam diri untuk tidak terus bergantung dengan apa yang disediakan oleh pihak berkaitan.

Masyarakat Penan khususnya pelajar juga perlu menetapkan sasaran yang lebih tinggi dalam bidang pendidikan mereka bagi menjaminkan kualiti setiap bidang yang diceburi.

Meskipun tetap diberi kelonggaran dalam setiap perkara, namun usaha untuk mencapai prestasi yang terbaik adalah sangat penting untuk mengelakkan sikap sambil lewa terus menjadi adat tradisi turun-temurun. Selain itu, masyarakat Penan juga perlu menyingkirkan perasaan rendah diri dan malu pada diri untuk meningkatkan keyakinan dan keupayaan diri untuk bersaing secara positif dengan kaum lain.

Hal ini kerana, terlalu banyak masa yang terbuang dan sia-sia untuk bergerak sama maju setanding dengan kaum yang lain. Kerajaan harus memperbanyakkan usaha untuk membentuk jati diri kaum Penan melalui program-program dilaksanakan agar mereka dapat menggunakan kemahiran yang ada sebagai kekuatan yang boleh menyerlahkan peribadi dan juga bangsa mereka.

Kerajaan juga harus sentiasa membimbing dan membiasakan kaum Penan untuk berdikari bagi membuka mata dan minda mereka mengenali dunia yang sebenar.

Sehubungan itu, peranan anakanak Penan yang telah berjaya juga amat penting dalam memberikan kata semangat kepada generasi baharu untuk menyusuri langkah yang sama dalam arus pembangunan.

Mulai sekarang, masyarakat Penan harus bertindak pantas untuk terus ke hadapan. Jauhi sikap tunggu dan lihat yang diamalkan selama ini sebagai pemangkin ke arah melahirkan masyarakat Penan yang berjaya.