KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan menambah bekalan vaksin COVID-19 bagi menampung keperluan imunisasi sehingga 70 peratus rakyat membawa sinar harapan, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat untuk kembali menjalankan rutin kehidupan seperti sebelum ini.

Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai tambahan bekalan vaksin COVID-19 berbanding kuantiti asal 30 peratus rakyat negara ini semalam adalah khabar gembira yang akan membantu rakyat dan negara ini untuk bangkit semula daripada impak pandemik COVID-19.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata kerajaan sebelum ini terpaksa mengenakan pelbagai sekatan termasuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang rantaian penularan COVID-19 dan memberi kesan buruk kepada ekonomi, pendidikan dan kehidupan rakyat termasuk aktiviti sosial.

“Meskipun vaksin COVID-19 tidaklah dianggap 100 peratus boleh melindungi tapi rakyat yang telah divaksinkan mereka boleh menjalani aktiviti sosial dengan lebih bebas dan tidak perlu bimbang untuk keluar walaupun dengan amalan norma baharu.

Jadi, semua sektor ekonomi dan sosial dijangka dapat dirancakkan semula dengan tahap kawalan yang paling minimum,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Yusof berkata cadangan kerajaan itu juga akan dapat mempercepatkan proses penerimaan vaksin COVID-19 kepada semua golongan tanpa mengira keutamaan yang berisiko terdedah dengan pandemik itu.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat pula berpendapat cadangan penambahan bekalan vaksin sehingga 70 peratus itu akan meningkatkan semangat dan keyakinan barisan hadapan yang bertugas di lapangan.

“Ia (vaksin) sebahagian pencegahan awal kepada barisan hadapan dan memberi jaminan untuk mereka berhadapan tugasan yang berisiko tinggi dan telah melalui situasi begitu sukar seperti menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) dan terpaksa juga dikuarantin selepas dijangkiti wabak itu,” katanya.

Adnan berkata tambahan bekalan vaksin itu bukan sahaja mencukupi untuk barisan hadapan malah ia boleh merangkumi rakyat yang memerlukan vaksin itu.

‘’Keputusan yang sukar dan drastik namun langkah yang diambil kerajaan itu dibuat demi kepentingan rakyat walaupun pada masa sama negara berdepan dengan cabaran ekonomi yang getir,” katanya. – Bernama