PONTIAN: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak Jun lalu, membuka ruang kepada sekumpulan 15 pelajar universiti untuk membantu keluarga B40 di Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas di sini, menjana pendapatan tambahan melalui perusahaan sosial, Bee Friendz.

Inisiatif itu digerakkan penuntut UiTM Kampus Pasir Gudang daripada pelbagai fakulti termasuk Kejuruteraan Elektrik dan Mekanikal.

Menurut Ketua Projek berkenaan Muhammad Rasydan Abd Rashid, 19, perusahaan Bee Friendz dimulakan pada Julai, dengan membekalkan dua unit rumah lebah kepada setiap lima keluarga terpilih, untuk menternak lebah Itama bagi menghasilkan madu kelulut.

Selepas melalui tempoh matang, madu ini kemudiannya akan dituai sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan, bergantung keadaan cuaca untuk dijadikan sebagai produk akhir seperti sabun dobi, sabun basuh tangan, sabun basuh muka dan minuman berasaskan madu.

“Di Bee Friendz, kami menghasilkan enam jenis produk iaitu madu kelulut asli itu sendiri yang kita jual pada harga RM40 bagi 100 mililiter, sabun propolis dobi, sabun propolis tangan, sabun muka, sabun badan dan kelulut e-buku, untuk memberi bimbingan kepada masyarakat yang berminat terhadap penternakan madu kelulut,” kata Muhammad Rasydan.

Menurutnya, walaupun kuantiti produk yang dihasilkan kecil ketika ini, ia sentiasa habis terjual kerana terdapatnya permintaan tinggi selain daripada kualiti produk yang terjamin.

“Ini dibuktikan dengan pengiktirafan diterima iaitu Anugerah Gangsa dalam Pertandingan Penciptaan Inovasi Antarabangsa pada bulan lepas,” jelasnya sambil memberitahu produk berkenaan dijual dalam kalangan warga UiTM sendiri, menerusi akaun media sosial Instagram dan Facebook Bee Friendz.

Tambah Muhammad Rasydan, mereka berharap projek berkenaan dapat memanfaatkan lebih ramai golongan sasar, untuk melibatkan diri dengan ternakan lebah kelulut dengan mewujudkan sebuah komuniti yang aktif dengan projek madu ini.

“Kita nak bantu mereka tingkatkan hasil pendapatan dari segpembuatan produk yang berinovasi dan juga penjenamaan produk itu sendiri,” katanya lagi.

Sementara itu, Penyelia Program Bee Friendz merangkap Pensyarah Kanan Unit Kimia, Fakuliti Sains Gunaan UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang Munirah Onn berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Mahasiswa Harapan Masyarakat atau dinamakan Duta Jauhar, yang bertujuan membangunkan sosioekonomi masyarakat Johor.

“Projek yang melibatkan masyarakat seperti ini penting.

Pembelajaran di peringkat universiti tidak terhenti di kelas, tetapi sebaliknya perlu memberi impak positif kepada masyarakat luar,” katanya.

Tambah Munirah, projek berkenaan dipilih kerana ia sesuatu yang praktikal dan mudah dilaksanakan, selain bersesuaian dengan jumlah dana RM5,000 yang disalurkan Yayasan Pelajaran Johor untuk inisiatif berkenaan.

“Penjagaan lebah ini tidak sama seperti menternak haiwan lain yang kita perlu sentiasa jaga dan diberi makan.

“Lebah ini berupaya mendapatkan makanan mereka sendiri menerusi flora dan fauna yang terdapat di kawasan sekitar, menjadikan ia sesuai sebagai satu punca pendapatan tambahan,” katanya.

Menurutnya, propolis boleh dijual pada harga RM1,800 bagi 1 kg, manakala bee bread pada harga RM1,200 bagi 1 kg. Salah seorang peserta program Norani Mohd Halel, 56, berkata, penglibatannya dalam projek berkenaan berjaya menambahkan pendapatan keluarga, yang selama ini bergantung kepada tanaman kampung sahaja.

“Selain dibekalkan dengan rumah lebah sebagai permulaan, saya juga diberi tunjuk ajar bagaimana cara terbaik untuk mendapatkan hasil madu kelulut yang diinginkan.

“Saya juga terlibat dalam cara pemprosesan dan bagaimana mendapatkan madu yang berkualiti dengan menyediakan tanaman pokok dan bunga sebagai makanan lebah.

“Jika cuaca baik, satu rumah lebah ini dapat menghasilkan kirakira 1 kg madu dalam tempoh sebulan dan boleh dijual pada harga antara RM200 hingga RM300 mengikut pasaran semasa,” jelasnya.-Bernama