KUCHING: Minat mendalam terhadap seni mempertahankan diri membawa Muhammad Afzdhaluddin Ab Rahman menyertai judo.

Beliau yang berusia 22 tahun merupakan anak kelahiran Kelantan dan bertugas dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai kerani di Kem Penrissen Lama (Batu 8) Muhammad menyifatkan penglibatan dalam seni mempertahankan diri judo ini sebagai bidang terjun.

“Ketika mula menyertai judo, saya tidak mempunyai apa-apa ilmu pengetahuan tentangnya.

“Pada awalnya, saya datang sendirian untuk melihat latihan judo tetapi ia bertukar menjadi minat hingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pembukaan Persatuan Judo Sarawak Cawangan Sentosa (Kelab Sentosa Judo) di Batu 7, di sini.

Muhammad Afzdhaluddin Ab Rahman

Tambahnya, beliau gemar menyertai aktiviti sukan yang lasak dan ada lawan untuk ditentang.

“Sebelum ini saya menyertai sukan tinju, silat dan lain-lain kerana minat terhadap seni mempertahankan diri.

“Saya mengaku saya seorang kaki bangku. Tidak pandai bermain bola sepak dan sebagainya. Jadi fokus saya lebih kepada olahraga seperti ini,” ujarnya.

Muhammad menegaskan, walaupun seni judo ini banyak disertai oleh bangsa Cina tetapi itu bukan penghalang untuknya mendapatkan ilmu tentang seni dan sukan judo tersebut.

“Apa yang penting adalah sikap sentiasa ingin belajar dan usaha dalam mempelajari seni mempertahankan diri, ini kerana kunci kepada kejayaan.

“Saya akan terus berusaha untuk mempromosikan judo ini kepada rakan-rakan yang lain menerusi Facebook dan sebagainya

“Selain itu, saya berhasrat untuk mencari ilmu mengenai judo ini sebaik mungkin dan akan membawanya ke Kelantan suatu hari kelak,” jelasnya

Sebagai rekod, Muhammad merupakan salah seorang ahli kelab berbangsa Melayu yang menyertai Kelab Sentosa Judo.