KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengumumkan Kluster Greenhill di Daerah Kuching, Miri dan Bintulu diisytiharkan tamat, hari ini.

Pemangku Pengerusi JPBNS Tan Sri James Jemut Masing berkata, penamatan kluster tersebut ekoran daripada tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari dari tarikh kes terakhir dikesan.

“Hari ini, tiada kluster baharu dilaporkan dan hanya satu kluster yang masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Besi, Kuching dengan kes positif kekal 12 orang termasuk kes indeks,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri memberitahu, tiada kes positif Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini dan ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini kekal 1,075 kes.

“Terdapat satu kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS) pada hari ini.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih dan  dibenarkan discaj meningkat kepada 1,045 orang atau 97.21 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak,” ujarnya.

Tambahnya, jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah seramai 11 orang dan melibatkan sembilan kes di HUS manakala satu masing-masing kes di Hospital Miri dan Hospital Bintulu.

“Setakat hari ini juga, terdapat lima individu dalam siasatan (PUI) baharu telah dilaporkan dan tiada PUI yang menunggu keputusan ujian makmal.

“Manakala, seramai 357 individu di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin dan ia menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 41 buah hotel dan SC Bukan Hotel adalah seramai 4,488 orang.

“Dan seramai 39,325 PUS telah tamat menjalani tempoh kurantin,” tegasnya.

Sebagai rekod, Daerah Serian dan Kuching kekal berstatus Kuning dengan jumlah  keseluruhan tiga kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas iaitu Serian (dua) dan Kuching (satu).

Sehubungan itu, 38 buah daerah lain kekal berstatus Hijau.