BAU: Kerjasama penduduk menyalurkan maklumat kepada polis berjaya menahan seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (Pati) yang bersembunyi di Kampung Skibang, semalam.

Suspek, 27, yang mengaku dirinya berasal daripada Indonesia dipercayai memasuki Sarawak secara tidak sah iaitu dengan melalui jalan tikus.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek ditangkap oleh pasukan kereta peronda (MPV) IPD Bau bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekitar jam 4.57 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak membawa apa-apa dokumen perjalanan yang sah.

“Suspek bagaimanapun telah ditangkap dan proses tangkapan dijalankan dengan mengikut prosuder operasi standard (SOP) Covid-19 dengan bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek seterusnya dibawa menggunakan kenderaan ambulans untuk tujuan pemeriksaan kesihatan sebelum dikenakan tindakan lanjut.

Katanya, kes kini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/ 3.

Justeru, Poge dalam kenyataannya turut berterima kasih atas sokongan dan kerjasama padu diberikan oleh penduduk dalam membantu polis memerangi jenayah kemasukan Pati serta bersama-sama berusaha mengekang penularan wabak virus itu khususnya di daerah Bau.

CEGAH… APAM mengenakan alat perlindungan diri (PPE) semasa menjalankan tangkapan terhadap suspek