TANJUNG MANIS: Penuh warna warni dan ada nilai tersendiri.

Itulah keunikan tradisi berarak menaiki tandu yang masih subur di daerah ini.

Kebiasaannya tandu digunakan untuk mengiringi pasangan pengantin namun di daerah ini khususnya Kampung Jerijeh lebih sinonim dengan perarakan bagi meraikan kanak-kanak khatam al-Quran.

Penghulu Belawai Kalali Klen berkata, tradisi turun-temurun itu bukan sekadar menggambarkan kepelbagaian budaya tetapi simbolik perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penduduk.

Menurutnya, tandu dibina dengan pelbagai bentuk rekaan seperti haiwan, tumbuhan, kenderaan, rumah, bot nelayan, dan lain-lain lagi.

“Uniknya, tandu-tandu ini bukan dihasilkan oleh individu tertentu sebaliknya dibina secara gotong-royong membabitkan penglibatan penyertaan semua, sekali gus mengeratkan hubungan sesama penduduk,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau berkata, walaupun zaman sudah berubah namun tradisi yang mempunyai nilai sejarah itu akan terus dipelihara agar tidak luput ditelan zaman.

Malah katanya, pelbagai usaha akan dilakukan bagi memastikan budaya itu terus subur terutama dalam kalangan generasi muda pada masa akan datang.

“Sebagai pemimpin masyarakat, saya gembira penduduk di kawasan ini masih lagi menghidupkan tradisi mengarak kanak-kanak khatam al-Quran menggunakan tandu.

“Ini merupakan satu warisan yang amat bernilai dan mesti dipertahankan, bukan hanya tatapan di buku mahupun media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, perarakan tandu berkenaan mengimbau semula nostalgia di samping memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai tradisi orang terdahulu yang sinonim dengan amalan hidup bermuafakat.

“Walaupun penganjurannya diadakan di peringkat kampung, namun acara ini berpotensi besar untuk dikembangkan terutama dalam sektor pelancongan,” katanya.