PADAWAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengesahkan PRN-12 akan diadakan pada tahun depan.

Menurutnya mengikut perancangan, pilihan raya akan diadakan tahun ini namun ditunda disebabkan penularan Covid-19.

“Sebenarnya perancangan kami untuk mengadakan lebih awal (PRN12) tetapi disebabkan Covid-19, ia ditunda kerana keutamaan adalah untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-24 Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan pelancaran mural Gadis Gelang Terakhir di Kota Padawan, di sini semalam.

Bagaimanapun apabila ditanya tarikh pilihan raya akan diadakan, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan tidak tahu.

Malah beliau turut menafikan jangkaan bahawa PRN12 akan diadakan pada Mac.

“Tahun depanlah, tetapi saya tidak tahu bila… sekarang sudah Disember,” katanya.