PADAWAN: Pembangunan di bandar bukan dibawa atas desakan politik pembangkang tetapi menerusi dasar kerajaan yang baik dan konsisten.

Justeru, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, masyarakat yang tinggal di bandar harus mengubah persepsi bahawa kawasan bandar akan tetap membangun walaupun mereka tidak perlu mengundi kerajaan.

“Terdapat persepsi dalam kalangan orang yang tinggal di bandar bahawa kerajaan akan tetap membawa pembangunan.

Maka tiada keperluan untuk mereka mengundi kerajaan, pilih sahaja pembangkang supaya mereka (kerajaan) mencari-cari jalan.

“Saya beritahu anda satu perkara, dalam mana-mana pembangunan, hanya dasar yang baik dapat membangunkan kawasan bandar… anda tidak boleh menganggap bahawa kawasan bandar akan berubah sendiri sebaliknya ia mesti berdasarkan dasar yang baik.

“Maka bagi orang di kawasan bandar, jangan lupa bahawa ia adalah disebabkan oleh dasar kerajaan yang baik.

Kalau dasar tidak konsisten dan tidak baik, saya tidak fikir anda boleh mendapat pembangunan yang baik seperti yang anda perlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-24 Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan pelancaran mural Wanita Gelang Terakhir di Kota Padawan, di sini semalam.

Sehubungan itu, Abang Johari menggesa masyarakat supaya berfikir dengan betul semasa memilih kerajaan, sama ada di peringkat kerajaan tempatan mahu pun Kerajaan Negeri.

Katanya, bagi Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS), dasar inklusif sudah ditetapkan ke arah tahun 2030 tanpa meminggirkan mana-mana kaum.

“Semua orang mesti berada dalam kerangka kerja yang ada.

Kami tidak mahu meminggirkan kaum lain tetapi semua mesti terlibat.

“Sarawak sangat besar namun populasi hanya 2.8 juta orang.

Dengan statistik penduduk Melayu, Dayak dan Cina lebih kurang sama, jadi kita harus bekerjasama. “Oleh sebab itu, sesiapa sahaja yang menjadi Ketua Menteri mesti berlaku adil kepada semua kaum,” katanya.

Justeru bagi merealisasikan perjalanan Sarawak menuju era ekonomi digital dan bandar pintar, beliau berharap agar semua kaum bekerjasama dan memberi kemenangan besar kepada GPS pada PRN-12 yang akan diadakan tahun depan.