KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) menganjurkan Ceramah Reka Bentuk Maya untuk mempromosi dan memperkukuh minat pereka muda SayD’SignersSarawak dalam reka bentuk dan kreativiti khususnya perabot.

Dengan tema SayD’Signers, A Jump Start ceramah separuh hari itu dihadiri 26 orang SayD’SignersSarawak daripada kelompok pertama pengambilan (2018), kedua (2019), ketiga (2020) dan keempat (2021) termasuk 21 pelajar Unimas.

Selain itu, ceramah tersebut diadakan untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada pereka muda bagi mengekalkan minat mereka dan bergerak ke hadapan dalam membangunkan kerjaya pereka sama ada melalui pekerjaan dengan syarikat atau membina perniagaan sendiri.

Pemangku Timbalan Pengurus Besar Pusaka Dayang Nena Abang Bruce berkata, ini merupakan salah satu daripada siri ceramah yang diadakan oleh Pusaka.

“Pusaka akan terus menganjurkan program ini pada masa akan datang untuk mencapai sasaran 100 pereka perabot terlatih menjelang 2030.

“Ini diperlukan untuk mendukung visi Pusaka dalam mengubah industri kayu menjadi industri nilai tambah tinggi menjelang 2030,” katanya menerusi kenyataan, baru-baru ini.

Tambahnya, Pusaka telah mengembangkan dan melaksanakan program latihan SayD’SignersSarawak untuk lulusan baharu dengan kerjasama Unimas dan Fakultas Seni Reka dan Desain (FSRD) Institut Teknologi Bandung (ITB) sejak 2018.

“Tiga pereka telah dijemput untuk berkongsi pengalaman serta pengetahuan mereka terutama mengenai kejayaan menjadi pereka selain menasihati peserta untuk menjadi lebih berjaya,” ujarnya.

Bekas Dekan FSRD, ITB Prof Dr. Imam Santosa pula menjelaskan tentang tamadun dan bagaimana dinamik reka bentuk mempengaruhi perubahan trend yang memberikan inspirasi kepada SayD’SignersSarawak untuk menjadi pemula dalam persekitaran yang berubah-ubah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Element Republic Sdn Bhd Kuala Lumpur Walter Tan berkongsi tentang langkah yang perlu diambil sebelum memulakan perniagaan sendiri dan menjadi pereka bebas.

Dalam hal berkaitan, Pengerusi Persatuan Pereka Dalaman Indonesia Rina Marina Suminar menceritakan pengalaman membina kerjaya melalui penglibatan dan kerjasama masyarakat setempat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghasilkan reka bentuk dan produk baharu.

Latihan SayD’SignersSarawak merupakan batu lonjakan untuk pereka muda Sarawak meneruskan kerjaya mereka dalam reka bentuk perabot.

Latihan selama dua tahun itu dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mengenai reka bentuk.

Objektifnya adalah untuk menghasilkan pereka perabot boleh dipasarkan dalam industri perkayuan serta platform membangunkan kerjaya kepada SayD’SignersSarawak untuk menjadi pereka perabot profesional.

Sehingga kini, Pusaka telah melatih 21 siswazah muda dari Unimas di bawah program tersebut.