SABTU lalu saya berkesempatan menyertai program berbasikal yang dianjurkan oleh Pejabat Residen Mukah iaitu Raun Besikal Telow 2020 (Kita Santai Berbasikal).

Dengan penyertaan hampir 200 peserta yang bukan sahaja dari Daerah Mukah, tetapi dari luar Mukah seperti Miri, Bintulu, Sibu dan Sri Aman.

Ia boleh anggap satu kejayaan bagi pihak penganjur.

Apa yang menarik ialah kelainan yang ditampilkan dalam program tersebut, tidak sama seperti program Kayuhan Ria yang biasa disertai, Raun Besikal Telow menampilkan unsur-unsur pendidikan.

Memandangkan Mukah merupakan satu daerah yang agak jauh dari Kuching dan Miri, maka kebanyakan pelancong tempatan datang dari daerah berhampiran seperti Sibu dan Bintulu.

KENANGAN… Penulis bersama-sama peserta merakamkan kenangan di Lamin Dana Mukah.

Akses lebih mudah bagi orang Bintulu ke Mukah setelah jambatan Kuala Tatau dibuka pada 2017 menyebabkan Mukah menjadi tumpuan ramai.

Umai ikan empirang, tebaloi dan sagu menjadi pilihan pengunjung. Penganjuran Raun Besikal Telow kali ini telah membuka satu lembaran baharu dalam aktiviti berbasikal, konsep Photo Hunt diperkenalkan.

Konsep ini sesuai kerana dalam pendidikan, konsep pembelajaran abad ke-21 yang dikenali Gallery Walk dan Gallery Tour merupakan satu aktiviti yang hampir sama dengan kaedah yang diaplikasikan oleh Pejabat Residen Mukah.

Ini membolehkan peserta kayuhan bukan sekadar mengayuh keliling bandar atau kampung tetapi memberikan input dan maklumat berguna di beberapa tempat menarik.

Pemilihan sembilan stesen, antaranya Tanjung Pedada, Tiang Jerunai Kampung Telian, Sapan Puloh, Lamin Dana dan Tiang Tibow bukan sahaja memperkenalkan tempat menarik tetapi peserta kayuhan dapat belajar tentang nilai esentrik dan estetika dalam adat dan budaya Melanau yang penuh dengan keindahan.

Nilai sejarah boleh dilihat dari pangkalan Tambang Tanjung Pedada yang memberi gambaran masa lampau bagaimana orang kampung menggunakan perahu tambang untuk akses ke pekan lama Mukah di tepi sungai.

Di situ kelihatan bagaimana komuniti Cina menjana bandar ini dengan sektor perniagaan dan perikanan apabila terdapat Tua Pek Kong dibina bagi membuktikan eksistensi masyarakat Cina di Mukah.

Nilai budaya dan adat pula dapat dilihat di Muzium Mini Sapan Puloh yang mempamerkan koleksi tembikar, pinggan mangkuk, peralatan menangkap ikan dan pakaian tradisi serta topeng masyarakat Melanau Likow zaman dahulu memberikan info tentang amalan tradisi masyarakat Melanau zaman dahulu.

Tiang Jerunai dan Tiang Tibow juga dapat menggambarkan seribu satu kisah seolah-olah peserta kayuhan kembali ke kurun terdahulu sambil memvisualisasikan bagaimana Tiang Jerunai ini mampu menggerunkan penduduk ketika itu.

Di samping itu, kita dapat bayangkan keceriaan dan keterujaan anak-anak muda Melanau bergayutan di tiang tibow.

Semua ini sesuatu yang cukup indah dan bermakna untuk dibawa pulang sebagai kenangan oleh peserta kayuhan.

Namun saya ingin memberi cadangan kepada pihak residen jika ingin meneruskan penganjuran Raun Besikal Telow 2021 supaya dapat membuat sedikit penambahbaikan.

Antaranya memastikan laluan ke stesen hendaklah selamat kerana terdapat beberapa peserta hampir tegelincir akibat lumut yang licin memenuhi pelantar kayu belian, apatah lagi ramai peserta yang memakai kasut basikal (yang tiada tapak berbunga).

Selain itu pihak penganjur boleh menyebarluaskan maklumat penyertaan supaya peserta dari luar Mukah dapat menyertai program ini.

Penyertaan luar dapat membantu peningkatan industri hotel di Mukah apabila peserta luar dapat hadir dan menginap di sini.

Kesimpulannya, program Raun Besikal Telow 2020 boleh membuka idea kepada penganjur di daerah lain supaya mencontohi program ini seperti di Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Kapit untuk memperkasakan sektor pelancongan tempatan.

• Cikgu Emmet atau Ahmad Faizal Osman merupakan guru kanan di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman.