SERIAN: GPS sentiasa mengalu-alukan penyertaan Adun Opar Datuk Ranum Mina untuk kembali bersama parti tersebut, kata Naib Presiden Kanan Parti PBB Datuk Amar Michael Manyin Jawong.

Katanya, Ranum pernah menyertai mereka dalam beberapa pertemuan untuk mempersiapkan diri dalam pilihan raya sebelum beliau (Ranum) beralih arah kepada PSB.

“Saya berharap beliau akan berubah fikiran pada saat akhir dan menyertai kita dalam GPS untuk memenangi keseluruhan lapan kerusi di kawasan komuniti Bidayuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Gereja St Paul Kampung Tema Saan yang telah siap dinaik taraf di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Ranum menegaskan bahawa beliau akan sentiasa bersama-sama PSB dalam apa-apa jua keadaan. Ketika mengulas mengenai calon baharu untuk bertanding di kawasan komuniti Bidayuh, Manyin yang juga Adun Tebedu berkata, beliau masih belum pasti mengenai perkara itu.

“Kami sentiasa bermesyuarat bersama-sama Adun Bidayuh, malah sebelum bermulanya penularan Covid-19 di seluruh negara lagi kerana kami cuba mempersiapkan diri menghadapi PRN sejak setahun lalu,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding pada PRN akan datang, Manyin enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. “Seperti yang anda tahu, saya sudah tua.

Malah baru-baru ini Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing ada bertukar pendapat dengan mereka yang menyatakan bahawa orang muda harus menggantikan mereka yang tua supaya idea baharu dapat dikembangkan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menjawab ya atau tidak kepada pertanyaan berkenaan, namun hanya menjawab, “Saya adalah yang paling tua dalam kabinet buat masa sekarang.”

PBB mempunyai lapan kerusi di kawasan komuniti Bidayuh termasuk di Tebedu, Tarat, Kedup, Bukit Semuja, Serembu dan Mambong, manakala kerusi Tasik Biru dimiliki oleh PDP.