PUTRAJAYA: Kira-kira 35 peratus daripada 52,873 perokok yang mendaftar di bawah perkhidmatan rawatan berhenti merokok ‘mQuit Services’ dalam tempoh 2015 hingga 2019 berjaya berhenti merokok, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata program itu dijalankan dalam dua fasa iaitu fasa pertama dari 2015 hingga 2017 dan fasa kedua pula bermula 2017 hingga tahun ini.

Menurut beliau, terdapat 198 fasiliti swasta berdaftar di seluruh negara yang menawarkan perkhidmatan berhenti merokok itu hingga kini dan dijangka meningkat kepada 400 fasiliti swasta menjelang 2025.

“Ini merupakan satu kejayaan memberangsangkan hasil kerjasama semua rakan kongsi terbabit,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman pelanjutan ‘mQuit Services’ fasa 3 antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan 13 rakan kongsi bagi tempoh lima tahun di sini hari ini.

Rakan kongsi berkenaan ialah Universiti Malaya, Akademi Farmasi Malaysia, Johnson & Johnson Sdn Bhd, Translab (M) Sdn Bhd, Putra Specialist Hospital, Pertubuhan Green Lung Malaysia, Persatuan Farmasi Malaysia, Pertubuhan Ayah Jangan Merokok, CompuMed Services Sdn Bhd, Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd, Health4U Solution Sdn Bhd, Inter Virtual Sdn Bhd dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia.

Dr Noor Azmi berkata ‘mQuit Services’ fasa ketiga itu dilaksanakan selari dengan norma baharu yang menekankan kepada sistem pendigitalan dan konsep Uberisation.

“Mereka yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan program ini boleh terus mendaftar dan mendapatkan khidmat nasihat secara dalam talian di laman sesawang jomquit.com,” katanya.

Menurut Dr Noor Azmi, informasi berkaitan merokok serta cara penyertaan ke perkhidmatan ‘mQuit Services’ turut dimuat naik melalui aplikasi MySejahtera dan hasilnya lebih 4,210 perokok telah mendaftar ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak18 Mac hingga 8 Dis lalu.  — BERNAMA