SARATOK: Generasi baharu Kampung Sepuk bakal melihat warisan nenek moyang mereka yang pernah ditinggalkan apabila ada usaha membangunkan semula kampung tersebut yang wujud sekitar 1930-an.

Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Saratok Kaunselor Mohamad Duri berkata, Kampung Sepuk wujud sebagai perkampungan masyarakat Melayu sebelum zaman Jepun.

“Satu detik bersejarah buat waris asal Kampung Sepuk apabila perkampungan lama tersebut bakal dibangunkan semula.

“Kita menyerahkan lot kediaman yang telah disukat semula kepada penduduk asal kampung tersebut yang merupakan ‘tembang lamak’ (tapak asal) kepada kewujudan Kampung Sepuk.

Antara penduduk asal dan waris yang hadir pada program tersebut.

“Sebanyak 50 unit lot kediaman yang lebih teratur dan tersusun dibahagikan kepada semua keluarga asal yang pernah mendiami kawasan ini,” katanya semasa penyerahan lot di sini pada Isnin.

Jelasnya pada zaman kegemilangannya, kampung tersebut popular dengan ternakan kerbau. “Insya-Allah dengan adanya bantuan pembinaan jalan pertanian oleh Adun Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz, waris dapat mengusahakan pelbagai jenis tanaman dengan lebih rancak terutamanya pisang, kelapa serta dapat menghidupkan semula penternakan kerbau. “Saya yakin, kawasan ini mampu menjadi salah satu pengeluar utama hasil pertanian dan ternakan suatu hari nanti,” ujarnya.

Tambah Mohamad, setahun lalu sebanyak 24 peserta terlibat dalam menanam durian Musang King di atas tanah pusaka mereka.

Penempatan pertama Kampung Sepuk bermula hujung 1930-an dan parit peninggalan Jepun masih wujud di kawasan skim padi di kampung tersebut. Hadir sama Penghulu Razali Bujang.