KUALA LUMPUR: Kos perbelanjaan rawatan dan vaksin COVID-19 bagi ibu bapa boleh mendapat pelepasan cukai di bawah perbelanjaan membiayai rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata pelepasan cukai pendapatan bagi individu boleh dituntut sehingga jumlah maksimum RM8,000.

Jelasnya, pelepasan cukai sebanyak RM1,000 bagi rawatan vaksinasi termasuk vaksin COVID-19 juga terpakai untuk individu pembayar cukai selain ahli keluarga termasuk anak dan isteri.

“Sekiranya ibu bapa disahkan positif dan perlu menjalani rawatan termasuk vaksin, perbelanjaan itu boleh dituntut di bawah perbelanjaan perubatan ibu bapa,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Kewangan 2020, yang kemudiannya diluluskan dengan suara majoriti.

Rang Undang-Undang Kewangan 2020 bertujuan meminda Akta Cukai Pendapatan 1967; Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976; Akta Setem 1949; Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967; Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990; Akta Kewangan 2012; dan Akta Kewangan 2018.

Terdahulu pada sesi perbahasan rang undang-undang itu, Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) membangkitkan persoalan sama ada perbelanjaan vaksin COVID-19 bagi ibu bapa boleh digunakan untuk menuntut pelepasan cukai sebanyak RM1,000, susulan kanak-kanak dan remaja 18 tahun ke bawah tidak akan diberikan vaksin wabak itu.

Menerusi Belanjawan 2021, kerajaan bercadang memperluaskan skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan meliputi perbelanjaan vaksinasi yang dibuat oleh pembayar cukai bagi diri, pasangan dan anak terhad kepada RM1,000.

Ini termasuk perbelanjaan vaksin pneumococcal, Human Papillomavirus (HPV), Influenza, Rotavirus, Varicella, Meningococcal, kombinasi tetanus-difteria-ciellular-pertussis dan COVID-19 apabila vaksin wabak itu telah tersedia.