PADAWAN: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan sudah bersedia menerima peningkatan jumlah pelancong pada tahun depan.

Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementeriannya telah melaksanakan strategi baharu agar pemain industri dapat meningkatkan keupayaan dan nilai mereka apabila industri pelancongan kembali pulih.

“Kita berharap tahun depan, keadaan semakin baik, tetapi kita sudah bersiap sedia untuk peningkatan jumlah pelancong pada tahun depan.

“Kita bawa mereka yang terlibat dalam industri pelancongan menyertai program yang boleh meningkatkan keupayaan mereka,” jelasnya kepada pemberita selepas Majlis Ulang Tahun Ke -24 Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Pelancaran Mural Wanita Gelang Terakhir di sini pada Isnin.

Kata Abdul Karim, latihan ekopelancongan merupakan antara program melibatkan pemain industri pelancongan.

Jelasnya, melalui program dan latihan tersebut, mereka akan menjadi pemain terbaik apabila industri pelancongan dibuka semula kelak.

Tambah beliau lagi, kementeriannya turut bekerjasama dengan Pustaka Negeri Sarawak dan Lembaga Pelancongan Sarawak untuk menganjurkan pelbagai program pelancongan pada tahun depan.