SINGAPURA: Singapura membenarkan pelancong perniagaan dan pegawai pelawat dari semua negara memasuki negara itu mulai bulan depan, kata pihak berkuasa pada Selasa, dalam usaha negara itu untuk memulihkan kesan ekonomi akibat Covid-19.

Di bawah peraturan baharu itu, bilangan pelancong yang terhad dibenar memohon penginapan hingga 14 hari bermula pertengahan Januari, kata kementerian perdagangan. Singapura sebelum ini sudah mempunyai peraturan membenarkan pelawat terpilih dari negara tertentu termasuk China dan Korea Selatan.

Tetapi skim baru ini menandakan kelonggaran perjalanan yang ketara. Bagaimanapun, terdapat syarat ketat bagi mereka yang ingin mengunjungi negara kota itu.

Pelawat mesti menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum meninggalkan negara asal mereka, setiba di Singapura dan secara berkala selama mereka tinggal di negara itu, dan mesti menetap dan mengadakan perjumpaan di lokasi yang dipilih oleh kerajaan.

Peraturan dibuat untuk membolehkan pelawat mengadakan pertemuan dengan para tetamu mereka di bilik mesyuarat yang direka khas dilengkapi panel kaca kedap udara untuk mengurangkan risiko penularan, kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan.

Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberi amaran negara kota itu tidak mempunyai pilihan melainkan melonggarkan sekatan atau berisiko kehilangan statusnya sebagai hab global. “Perdagangan dan perjalanan adalah nadi kita,” kata Lee.

“Semakin lama sempadan kita sendiri ditutup kepada pelawat, semakin besar risiko kita kehilangan secara kekal status sebagai hab antarabangsa, yang akhirnya merosakkan mata pencarian kita,” katanya. – AFP