KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) berhasrat berkongsi kepakaran tenaga boleh diperbaharui dengan negara jiran untuk memacu ekonomi negeri pada masa depan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Sharbini Suhaili.

Ujarnya, SEB akan menerajui pembangunan grid utama kuasa Borneo yang mengeksport elektrik ke Kalimantan Barat sekali gus merekodkan kejayaan syarikat dalam mengeksport tenaga di rantau terbabit.

“Sarawak menjadi negeri pertama mengeksport tenaga ke Kalimantan Barat, Indonesia melalui Grid Borneo serta Brunei dan Sabah,” ujarnya dalam sesi maya SEB 2020 di iCube Innovation, semalam.

Kata Sharbini, Sarawak menyasarkan mendapatkan bekalan tenaga elektrik penuh menjelang 2025. “SEB kini fokus untuk mencapai sasaran 99 peratus elektrik di seluruh negeri melalui strategi di bawah rancangan utama elektrik di luar bandar.

“Setakat ini, liputan bekalan elektrik untuk bandar sebanyak 98 peratus manakala bagi kawasan luar bandar di negeri ini, liputan bekalan elektrik sebanyak 95 peratus.

“Namun, kami menyasarkan sekitar 97 peratus kawasan luar bandar dalam beberapa bulan ini selepas mencapai liputan 100 peratus di bandar. Kami berharap ia akan dapat dicapai pada akhir suku pertama tahun depan.

“Selain itu, sebanyak 150,000 isi rumah baharu yang dikenal pasti di luar bandar sedang dalam proses dibekalkan bekalan elektrik,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, SEB menyokong inisiatif kerajaan dengan memberikan potongan harga bil elektrik untuk semua sektor sejajar keadaan melanda negara masa kini.

“Aplikasi mudah alih SEB Cares mencatatkan lebih daripada 100,000 pengguna baru dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pada penghujung November ini, ia mencatatkan sebanyak 220,000 pengguna. “Kami ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan yang menggunakan aplikasi mudah alih ini,” katanya.

Jelas Sharbini, SEB dibangunkan hampir 100 tahun di bawah legasi yang kuat dan akan menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun depan.

Ujarnya, SEB kini mempunyai sekitar 5,400 kakitangan dan memberi perkhidmatan kepada 710,000 pelanggan pada tahun ini.