KUCHING: Serembu akan membuka pintu pelancongan berskala besar dengan produk yang pelbagai kepada pengunjung bermula tahun hadapan, kata Adun Serembu, Miro Simuh.

Ujarnya, pada pertengahan Januari tahun depan, gua di Kampung Merembeh akan mula dibuka. “Gua yang begitu unik ini akan mempunyai ruang yang panjang, tiga kilometer ke dalam perut gunung.

“Buat masa sekarang, kita sedang giat melaksanakan kemudahan yang diperlukan seperti Pusat Maklumat Pelancongan (TIC), laluan denai dan tempat berlindung.

“Ini merupakan produk pelancongan yang unik kerana terdapat dua gua yang dapat diterokai pengunjung,” ujarnya kepada media pada majlis penangguhan Simposium 200 Tahun Sejarah Perlombongan Emas Bau pada Selasa.

Mengulas mengenai sejarah perlombongan emas, beliau berkata bahawa lombong itu lambang pembangunan membawa kesan yang masih dapat dilihat hingga kini.

“Walaupun operasi perlombongan tidak lagi aktif, kami melihat kesan ditinggalkan dalam bentuk sejarah dan kami yakin mampu mengembangkannya sebagai pelancongan. “Di Daerah Serembu sendiri, saya dapat melihat kesan aktiviti perlombongan sangat besar dan masih ada kesan yang tersisa,” katanya.

Tambahnya, melihat kepada Siniawan, ia muncul sebagai pekan membekalkan makanan dan kemudahan lain untuk pelombong di Bau ketika itu. “Bandar ini wujud selama lebih daripada 100 tahun dan mempunyai nilai sejarah yang tinggi. “Sekarang, kami cuba mengubahnya menjadi hab pelancongan untuk Bau dalam dua tahun.

Orang boleh mengnjunginya melalui pelayaran sungai atau darat,” kata Miro. Tambah beliau, bagi projek tebingan sungai akan dimulakan minggu depan dengan peruntukan RM10 juta daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, terdapat juga tempat pelancongan lain di sekitarnya seperti Pusat Kebudayaan Gumbang, Markas Komunikasi Tentera Gurkha, kampung Buddha di Tanjong Durian, Tapak Warisan Brooke di Kampung Peninjau, dan banyak lagi.

“Kami juga menjadikan Serembu Eco Park sebagai tempat ekopelancongan bagi pengunjung untuk melakukan aktiviti mendaki, berkhemah, dan sebagainya.

“Kemudian mereka juga dapat mengunjungi kawasan kolam air panas di Paku yang sedang kita kembangkan dengan peruntukan RM500,000 tahun ini untuk memberi kemudahan lebih baik kepada pengunjung,” katanya.