KUCHING: Semua pengguna sungai, bot, kapal dan juragan dinasihatkan untuk memperlahankan kelajuan dan belayar dengan berhati-hati apabila melalui kawasan perairan Sungai Sarawak Ahad ini, bermula jam 8 pagi hingga 3 petang.

Ini adalah bagi memberi laluan aktiviti Pertandingan Memancing Udang Galah di Sungai Sarawak yang melibatkan sekitar perairan Masjid Terapung Kuching ke hulu sehingga Pangkalan Haji Jamil Sungai Bintangor, Kampung Bintangor di sini.

Penolong Kontroler Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Bahagian Kuching Julaihi Shahmad menasihatkan orang ramai, masyarakat perkapalan dan persatuan penambang pengguna sungai untuk memberi kerjasama pada hari tersebut.

“Anda juga diminta mematuhi segala arahan LSS dan para petugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, pihak kami memohon maaf atas sebarang kesulitan.

“Ini bagi memberi laluan kepada pertandingan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Persatuan Pemancing Lintangjong,” ujarnya.

PETA… Lokasi pertandingan memancing di sekitar Sungai Sarawak pada 20 Disember ini untuk perhatian pengguna sungai.

Sementara itu Pengerusi JKKK Persatuan Pemancing Lintangjong Mohd Ali Jais berkata, pertandingan yang bermula pada jam 8.30 pagi Ahad ini dibuka kepada penduduk sekitar Kampung Lintang, Kampung Tanjong dan sekitar Petra Jaya dengan bayaran penyertaan RM50 seorang.

“Pemenang tempat pertama akan mendapat hadiah wang tunai RM500, tempat kedua RM300, dan tempat ketiga RM100, manakala tempat keempat hingga ke-10 akan membawa pulang hadiah berupa hamper.

“Apa yang lebih menarik, majlis penangguhan serta penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman sekitar jam 2.30 petang,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Ali turut menegaskan bahawa pertandingan tersebut mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Selain itu, bot atau perahu para peserta akan diletakkan bendera untuk menandakan penyertaan serta sebagai peringatan kepada pengguna sungai yang melalui kawasan pertandingan,” ujarnya.