LUNDU: Langkah baharu membasmi rabies menerusi penubuhan Immune Belt Enforcement Team (IBET) diharap dapat mengurangkan kes kemalangan jiwa dan positif rabies.

Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN), Datuk Dr Chai Khin Chung berkata, penubuhan IBET merupakan satu inisiatif baharu kerajaan dalam mengawal dan membasmi wabak rabies.

“Kerajaan di bawah bimbi-ngan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) membuat kajian dan memutuskan langkah baharu perlu diadakan untuk mengawal dan membasmi wabak ini dengan berkesan. “Sebanyak 32 pasukan akan ditubuhkan dan setiap pasukan itu telah ditugaskan untuk menjaga sebilangan perkampungan,” katanya.

Menurutnya, pasukan ini akan bertugas sepenuh masa untuk menghapuskan anjing tidak bertuan termasuk memberi vaksin kepada anjing yang bertuan. “Mereka akan sentiasa bersiap sedia untuk memberikan perkhidmatan yang baik supaya anjing dari negara jiran tidak dapat masuk lagi dan juga anjing dalam kawasan kita dijaga dengan baik,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Program Latihan dan Pelancaran Border CERT (Community Emergency Response Team) Kawasan Daerah Lundu Sesi 1 pada Selasa.

Jelasnya, inisiatif ini ekoran situasi rabies di negeri ini yang masih pada tahap yang membimbangkan. “Pada 2018, sebanyak 16,417 kes gigitan anjing berlaku dan pada tahun lepas kes ini telah meningkat kepada 20,358 kes. “Bagi 11 bulan pertama tahun ini, sebanyak 12,469 kes dicatatkan. Satu angka yang masih tinggi,” ujarnya.

Tambahnya, apa yang lebih membimbangkan ialah kes kehilangan nyawa yang dicatatkan. Pada 2018, sebanyak 10 kes kematian dicatatkan, manakala pada 2019 sebanyak enam kes dan 11 bulan pertama tahun ini sebanyak lapan kes kematian direkodkan.

“Kalau kita hantar sepuluh kes untuk menjalankan ujian daripada kes yang ada gigitan, tiga positif rabies. Satu angka yang masih membimbangkan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada masyarakat Lundu kerana mengambil inisiatif dan komitmen yang begitu baik untuk menyertai program CERT kali ini. “Terima kasih juga kepadaagensi kerajaan yang telah mengambil bahagian untuk bersama-sama memerangi wabak rabies di Sarawak,” katanya semalam.