MIRI: Rakyat Sarawak yang berbilang kaum termasuk masyarakat Orang Ulu bersyukur dan bangga kerana Kerajaan Sarawak sangat prihatin dan inklusif dalam semua perkara, kata Penasihat Persekutuan Persatuan Orang Ulu Malaysia (Forum) Datuk Gerawat Gala.

Timbalan Speaker Dun yang juga Adun Mulu itu berkata, ia terbukti dengan pelbagai inisiatif, peruntukan serta sumbangan yang diberikan Ketua Menteri kepada penduduk negeri ini tanpa mengira latar belakang kaum untuk pembangunan serta kesejahteraan rakyat.

“Justeru, saya menggesa semua komuniti Orang Ulu untuk terus bersatu padu dan menyokong GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

“Jumlah Orang Ulu di Sarawak hanya 180,000 atau enam peratus berbanding 2.8 juta keseluruhan rakyat negeri ini dengan hanya dua kerusi parlimen dan enam kerusi Dun. “Namun malangnya satu kerusi Dun masih di luar pagar.

Ini yang hendak diurus kerana kita mahu semua kerusi Orang Ulu berada di blok Kerajaan GPS untuk terus mendapat perhatian dan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika upacara pecah tanah projek pembinaan Pusat Kebudayaan Orang Ulu yang disempurnakan Ketua Menteri di sini pada Selasa.

“Jika masyarakat kita tidak menyertai kerajaan dan memilih menyokong pembangkang, kerajaan tetap berjalan seperti biasa dan tidak terjejas. Tetapi kita yang akan mengalami kerugian besar serta akan ketinggalan. “Fikirlah dengan jiwa yang tenang dan rasional.

Jangan membiarkan emosi menguasai fikiran dan jangan mudah dihasut serta diperalatkan pembangkang untuk membenci kerajaan,” tegasnya.

Bercakap mengenai pusat tersebut, Gerawat menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri kerana menunaikan aspirasi dan impian masyarakat Orang Ulu untuk membina pusat itu dan bangunan ikonik tersebut yang menonjolkan keunikan budaya masyarakat itu.

“Kerajaan Sarawak memberikan tanah berukuran lima ekar di lokasi yang amat strategik dengan kemudahan asas malah meluluskan geran RM25 juta untuk membina bangunan ini.

“Reka bentuk bangunan ini mengambil kira ciri dan aspek kebudayaan serta kesenian Orang Ulu. Ia dijangka siap dalam tempoh 18 bulan, sekurang-kurang September 2022.

“Kita harap bangunan ini bukan sahaja menjadi pusat kaum ini, bahkan menjadi salah satu bangunan ikonik di Bahagian Miri yang dilengkapi pelbagai kemudahan di dalam serta luar bangunan,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya akan berusaha mempromosikan pusat itu sebagai salah satu tarikan pelancong seperti Kampung Budaya Orang Ulu selain menyediakan ruang untuk disewa kepada peniaga.

“Sementara bagi pembangunan fasa kedua, ia akan dimaklumkan kepada Ketua Menteri apabila pelannya sudah tersedia,” katanya lagi.