KABONG: Sik terlupak jaso bait Kerajaan Sarawak di dunio dan akhirat – itu luahan ikhlas seorang warga emas Leha Edon dalam tangis selepas melihat projek baik pulih kediamannya siap.

Ketika ditemui pasukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Kabong diketuai Pegawai Tugas Khas Nur Elffi Amir, keterujaannya menerima kediaman yang berwajah baharu jelas terlihat di riak wajah.

Jauh di sudut hati, dapat dirasai beliau sungguh gembira dan bersyukur sehingga tidak dapat menahan air mata.

Menurutnya, bantuan Kerajaan Sarawak menerusi Projek Kecil Luar Bandar – Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRPPPRMS) sangat bererti bagi mereka yang memerlukan sepertinya.

“Rumah saya uzur, tetapi selepas dibaik pulih kini nampak lebih cantik. “Terima kasih banyak-banyak kepada Adun Kabong Mohd Chee Kadir dan Kerajaan GPS yang telah membantu saya.

Macam-macam diganti seperti lantai, dinding dan atap. “Seikhlasnya, tidak terlupa jasa baik Yb Chee dan Kerajaan Sarawak termasuk semua yang memudahkan urusan saya, di dunia dan akhirat,” katanya di sini pada Selasa.

Beliau berdoa dan berharap semoga mereka terus bekerja dengan baik untuk rakyat.

Mak Cik Leha tinggal di Kampung Baru Darat Kabong menyifatkan wakil rakyat sedia ada sangat prihatin dan mendengar keluh resah rakyat.

Sejak diperkenalkan pada 2018, sebanyak 125 kediaman di Dun Kabong telah mendapat manfaat daripada program MRP-PPRMS yang keseluruhan bernilai RM1.5 juta.

Sementara itu, Chee berharap rakyat menilai sebaik-sebaiknya usaha yang dilakukan oleh Kerajaan GPS selama ini. “MRP-PPRMS merupakan salah satu daripada berpuluh inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang amat menguntungkan rakyat.

“Justeru, saya berharap pada masa akan datang program yang bagus seumpama ini akan diteruskan supaya lebih ramai yang mendapat faedah. “Saya yakin, walaupun agihan yang diterima setiap penerima tidak begitu banyak tetapi sebenarnya berjaya menjadikan kediaman mereka lebih selesa,” ujarnya.