LUBOK ANTU: Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) bersama dua warga tempatan ditangkap selepas cuba merentasi laluan gajah pada jarak 300 meter dari sempadan Indonesia-Malaysia berhampiran ladang kepala sawit Ensawang, semalam.

Tangkapan dilakukan oleh Pasukan Serang dan Tangkap (SERKAP) Angkatan Tentera Malaysia setelah membuat pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan jenis SUV yang cuba melalui kawasan itu pada jam 11.15 malam.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) menerusi satu kenyataan mengesahkan kejadian itu merupakan agenda terancang oleh dua warga tempatan yang dipercayai sebagai tekong darat untuk membawa kesemua Pati berkenaan.

Dedahnya, ia berikutan selepas pasukan melihat sebuah motosikal pada awalnya dalam keadaan mencurigakan melalui jalan terbabit sekitar jam 8.30 malam, seolah-olah cuba meninjau keadaan kawasan itu selamat daripada kawalan penguat kuasa.

CUBAAN…Kesemua 10 Pati dan dua warga tempatan yang cuba melalui sempadan Malaysia-Indonesia di kawasan ladang kelapa sawit Ensawang diserahkan kepada IPD Lubok Antu.

“Selepas itu muncul sebuah kenderaan jenis SUV cuba melalui kawasan sebelum ditahan oleh pasukan SERKAP yang sememangnya sudah menunggu di lokasi.

“Hasil soal siasat enam warga Indonesia memberikan alasan ingin pulang ke Indonesia manakala empat lagi mengaku ingin ke Malaysia secara tidak sah,” jelas kenyataan itu hari ini.

Tambah kenyataan tersebut, turut dirampas iaitu 18 buah telefon bimbit, 47 kotak rokok pelbagai jenama, 53 pek serbuk milo, wang tunai dan barangan peribadi serta kenderaan.

RAMPAS… Pelbagai barangan yang dirampas hasil tangkapan

Katanya kesemua suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lubok Antu untuk tindakan siasatan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, lima Pati turut ditahan ketika cuba memasuki Malaysia menerusi jalan tikus di belakang rumah kosong berjarak 1.4 Kilometer sempadan Malaysia-Indonesia, Tebedu sekitar jam 10 malam.

“Ketika ditahan kesemua suspek yang mengaku berasal dari Entikong itu memberikan alasan ingin ke Miri untuk bekerja.

“Pasukan SERKAP bagaimanapun bertindak mengusir semula mereka balik ke Indonesia menerusi laluan sama,” tegas kenyataan itu.