WASHINGTON: Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden merancang mencalonkan anggota kongres wanita New Mexico, Deb Haaland sebagai ketua Jabatan Dalam Negeri, pemimpin pertama dari kalangan penduduk asal Amerika, menurut Agensi Anadolu memetik beberapa laporan pada Khamis.

Kira-kira 20 peratus kawasan di AS berada di bawah kendalian Jabatan Dalam Negeri termasuk bertanggungjawab mengurus dan memulihara tanah persekutuan dan sumber semula jadi, serta mengawasi program berkaitan urusan Orang Asli.

Keputusan itu berikutan gesaan pemimpin Orang Asli dan ketua puak yang menjadi sebahagian daripada kumpulan yang telah berminggu-minggu mendesak Biden memilih Haaland, menurut laporan Washington Post dan The Associated Press.

Haaland, 60, dilahirkan di Navajo, Arizona dan berkelulusan undang-undang dari Universiti New Mexico sebelum menjadi anggota Kongres pada 2018.

Pada November, beliau memberitahu radio NPR pelantikan itu ‘sangat bermakna kepada Negara Indian’ – kawasan yang didiami majoriti puak peribumi.

“Ketika Sharice [Davids] dan saya angkat sumpah jawatan, semua orang sangat gembira. Ia amat bermakna bagi sekumpulan orang yang telah berada di sini sejak dahulu kala kerana kini mereka sudah ada wakil,” katanya.

“Saya rasa ini benar-benar akan mengubah tanggapan rakyat terhadap kerajaan persekutuan.”

Pelantikan itu bergantung kepada pengesahan Senat, yang kemungkinan besar akan mendapat sokongan dewan, dan beliau bakal menjadi orang asli Amerika pertama mengetuai jabatan itu sejak lebih 170 tahun sejarah penubuhannya.

Beliau bakal menjadi anggota Dewan Perwakilan Demokrat ketiga yang berkhidmat dalam pentadbiran Biden.

Speaker Dewan Nancy Pelosi pada Rabu berkata dalam satu kenyataan, jika Biden memilih Haaland ‘beliau telah membuat pilihan tepat’.  — BERNAMA