KUCHING: Sepanjang wabak Covid-19 melanda, Internet merupakan antara kemudahan utama diperlukan masyarakat untuk berhubung, mengadakan beberapa aktiviti penting dan sebagainya. Bagaimanapun, kemudahan ini banyak disalah guna pihak tertentu sehingga menyumbang peningkatan jenayah khasnya kanak-kanak.

Biasanya, pelaku mengambil kesempatan menggunakan peluang yang ada melakukan jenayah termasuk penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Ramai kanak-kanak menggunakan kemudahan ini meneruskan rutin mereka termasuk sesi pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan sekolah. Dalam webinar bertajuk “Child Online Safety and Protection (COSP)” anjuran Serba Dinamik Group Berhad (SDGB) dengan kerjasama eSafeKids Australia dan Cyber8Lab pada Selasa, pengasas eSafeKids Australia Kayelene Kerr (gambar kiri) berkongsi beberapa topik berkaitan dandanan dalam talian dan cara berkesan untuk ibu bapa berkomunikasi dengan anak mereka bagi mengelak menjadi mangsa penderaan seksual dalam talian.

Ceramah ini dikendalikan Naib Presiden Kanan Keselamatan Siber di SDGB Prof Madya Col (gambar kanan) Datuk Dr Husin Jazri. “Sepanjang tempoh Covid-19, didapati pengguna internet dalam kalangan kanak-kanak meningkat.

“Kita turut dapati pengawasan terhadap penggunaan kemudahan ini menurun dalam kalangan ibu bapa masing-masing,” katanya.

Kaylene mempunyai pengalaman 25 tahun dalam kajian dan penguatkuasaan undang-undang, penyiasat jenayah seksual, termasuk jenayah difasilitasi oleh teknologi mengatakan terdapat peningkatan signifikan dalam penderaan seksual dan eksploitasi kanak-kanak selama ini.

“Majlis Kebangsaan untuk Kanak-kanak Hilang dan Dieksploitasi (NCMEC) di AS menyatakan terdapat peningkatan 106 peratus dalam laporan eksploitasi kanakkanak dan penderaan seksual dalam tempoh Covid-19 melanda.

“Ini merupakan peningkatan ketara kerana pada tahun lalu, NCMEC menerima 900,000 laporan eksploitasi kanak-kanak dan penderaan seksual. “Dalam tempoh terakhir ini, sebahagian besar berlaku pada tempoh Covid-19, dengan jumlah laporan diterima melebihi 2 juta berkaitan eksploitasi anak dan penderaan seksual,” katanya.

Sementara itu, menurut Australian Center to Counter Child Exploitation (ACCCE), terdapat peningkatan 122 peratus dalam laporan eksploitasi anak dan penderaan seksual dari April hingga Jun.

“Penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia melaporkan aktiviti pelaku seks kanak-kanak dalam talian di laman web meningkat dua kali ganda. “Ini bermakna terdapat banyak taktik dilakukan pelaku dalam dalam talian untuk menarik perhatian mangsa,” ujarnya.

Berdasarkan maklumat pihak berkuasa undang-undang global, dianggarkan 750,000 pemangsa dalam talian aktif pada satu-satu masa menggunakan Internet.

“Masalah ini sentiasa berlaku sepanjang tahun, namun dalam tempoh Covid-19 ini ramai ibu bapa tidak mengawal kanak-kanak kerana menganggap keselamatan terjamin apabila berada di rumah,” jelas Kaylene.

Berdasarkan data kes di Malaysia, kebanyakan kanak-kanak terlibat didatangi individu tidak dikenali dalam talian yang meminta mangsa menghantar gambar dan video tidak sepatutnya.

“Pada 2015, satu daripada 10 kanak-kanak di Malaysia diminta mengirim gambar atau video bahagian yang tak sepatutnya kepada pelaku. Pada tahun yang sama, terdapat 300 peratus peningkatan penderaan dan eksploitasi seksual anak,” katanya.

Dandanan dalam talian ditakrifkan sebagai etika seseorang membuat hubungan dalam talian dengan kanak-kanak atau orang muda melalui semua jenis teknologi termasuk permainan kanakkanak dengan tujuan menjalinkan hubungan dengan mereka untuk melakukan penderaan seksual.

Kebanyakan individu ini melibatkan kaum lelaki, berbanding wanita. Menurut Kaylene, pelaku biasanya menyamar untuk berinteraksi dengan kanak-kanak malah sanggup berpura-pura kaum lawan jenis mangsa. “Kebanyakan mangsa dibawa ke tempat umum, kemudian dibawa ke tempat sunyi dan sukar dikesan orang ramai,” ujarnya lagi.

Untuk itu, penting ibu bapa mengetahui individu yang berkomunikasi dengan anak mereka dalam talian. “Dalam beberapa kes, pelaku mengirimkan video pornografi membiasakan mangsa melakukan hal diminta mereka,” katanya lagi.

Menurut beliau, 96 peratus daripada kes yang berlaku melibatkan orang dikenali dan dipercayai oleh kanak-kanak tersebut.