KUCHING: Kes kemalangan maut di Sarawak mencatatkan penurunan sebanyak 16.1 peratus sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga kini, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin.

Beliau berkata berdasarkan statistik terkini Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 276 kes kemalangan maut direkodkan dalam tempoh 11 bulan berbanding 329 kes tempoh sama tahun lepas manakala kes cedera parah pula mencatatkan 123 kes berbanding 178 kes (penurunan 30.9 peratus).

“Kita telah bermula dengan PKP pada Mac lepas dan sampai ke hari ini kita masih lagi ada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan ini telah mengurangkan bilangan kenderaan yang ada di atas jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Op Selamat Sempena Perayaan Krismas 2020 di sini hari ini yang turut dihadiri Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan kes kemalangan jalan raya di Sarawak menunjukkan penurunan sebanyak 25.6 peratus pada Januari hingga November tahun ini dengan sebanyak 14,570 kes, berbanding 19,581 kes tempoh sama tahun lepas.

Lee berkata kementeriannya telah menubuhkan jawatankuasa pengangkutan peringkat negeri dan bahagian di Sarawak melibatkan semua agensi kawalan pengangkutan sebagai langkah menurunkan jumlah kes kemalangan jalan raya.

Dalam pada itu, Lee berkata sebanyak 381,705 kenderaan pelbagai jenis telah didaftarkan di Sarawak dalam tempoh lima tahun dari 2015 hingga Oktober tahun ini dan jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 75 peratus.

Sementara itu, Aidi berkata polis Sarawak tidak merancang untuk menambah sekatan jalan raya sempena Op Selamat yang bermula hari ini hingga 1 Jan depan.

Katanya, sekatan jalan raya sedia ada dilaksanakan di tujuh lokasi di sempadan membabitkan daerah Lundu, Bau, Samarahan dan Serian yang diadakan sejak penguatkuasaan PKP.