KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 276 kemalangan maut dalam tempoh awal Januari hingga November tahun ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, jumlah tersebut bagaimanapun menunjukkan kadar pengurangan kepada 16.1 peratus berbanding tahun 2019 sebanyak 329 kes.

Menurutnya, kadar penurunan statistik kemalangan jalan raya itu dipengaruhi oleh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu sekali gus menyaksikan kekurangan kenderaan lalu lintas sepanjang ia berlangsung.

“Jumlah kemalangan maut dari Januari hingga November tahun ini menurun sebanyak 53 kes berbanding tahun 2019.

“Kategori kemalangan parah turut menurun kepada 55 kes (30.9 peratus) iaitu daripada 178 kes pada tahun 2019 kepada 123 kes tahun ini.

“Bagi kemalangan rosak, sejumlah 13,840 direkodkan dan menunjukkan pengurangan, berbanding tahun 2019 iaitu 18,855 kes.

“Manakala kecederaan ringan menunjukkan peningkatan daripada 219 kes pada tahun 2019 kepada 331 kes.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Keselamatan Jalan Raya OP Selamat Sempena Perayaan Hari Krismas 2020 di pusat membeli-belah, di sini, hari ini.

Terdahulu katanya, jumlah keseluruhan kemalangan pada tahun ini sehingga November adalah sebanyak 14,570 kes manakala 19,581 kes direkodkan dalam tempoh sama pada tahun 2019.

Dalam perkembangan lain katanya, pengguna jalan raya perlu lebih peka khususnya menjelang perayaan Hari Krismas bakal menjelma tidak lama lagi.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail yang turut hadir sama pada majlis mendedahkan tiada Sekatan Jalan Raya (SJR) diadakan sepanjang Op Selamat Hari Krismas yang bermula hari ini hingga 1 Januari 2021.

Ujarnya, hanya SJR di tujuh lokasi membabitkan kawalan di sempadan negeri dikekalkan.