KOTA SAMARAHAN: Seramai 97 penuntut lapan IPT awam Sarawak menyertai Program Advokasi Kepenggunaan dengan tema “Pengguna Cakna di Era Digital, secara atas talian, baru-baru ini.

Menurut kenyataan media, program tersebut merupakan anjuran bersama Persatuan Pengguna dan Ekonomi Keluarga Malaysia (MACFEA), Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Sarawak.

“Antara IPT awam yang terlibat ialah Unimas, UiTM Mukah, UiTM Samarahan 1, UiTM Samarahan 2, Politeknik Kuching, Politeknik Mukah, Politeknik Metro Betong dan Kolej Komuniti Kuching,” ujar kenyataan itu.

Pegawai Tadbir dan Diplomatik KPDNHEP Sarawak Mohammad Dzulkiflie Pathi berkata, bagi individu yang berminat untuk menjalankan perniagaan di laman web, mereka haruslah mematuhi beberapa peraturan yang ditetapkan terlebih dahulu.

“Ini termasuklah memaparkan nama penjual/syarikat, harga produk/servis, nombor pendaftaran perniagaan, maklumat untuk dihubungi, keterangan produk, kaedah pembayaran dan sebagainya,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut berkongsi beberapa tips semasa melakukan pembelian atas talian, seperti membuat perbandingan harga, menyemak maklumat peniaga, menyemak testimoni dan lain-lain.

Manakala, Timbalan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Tuan Mogan a/l Arumugam berkata, pihaknya akan sentiasa memantau segala transaksi yang berdaftar di bawah Kementerian berkenaan. “Kementerian juga ingin menasihati para mahasiswa untuk sentiasa berhati-hati dalam segala urusan perniagaan atas talian dan sebarang aduan pengguna boleh dibuat menerusi Whatsapp, laman sesawang atau ke kaunter KPDNHEP yang berhampiran.

“Kami berharap agar masyarakat menjadi pengguna yang bijak dan sedar akan tindakan yang dilaksanakan sepanjang melakukan transaksi atas talian,” sambung beliau yang turut dibantu oleh Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Mastura Arifin.

Terdahulu, daripada semua kes yang dikongsi oleh panel, hampir 10,000 laporan telah diterima oleh KPDNHEP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan perniagaan atas talian.

Oleh itu, program yang dilaksanakan ini bukan sahaja untuk memberi pengetahuan tentang maklumat berkenaan pengaruh media sosial dan kesan penipuan atas talian malah turut memberi pendedahan mengenai undang-undang dan sebagainya kepada golongan mahasiswa.