GEDONG: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak akan terus memperhebatkan operasi di lokasi sasaran di negeri ini sempena program Jihad Dadah.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, operasi diteruskan memandangkan masalah dadah masih belum dapat dibendung sepenuhnya, sebaliknya semakin serius.

Katanya, penyalahgunaan dadah kini berubah daripada jenis dadah konvensional kepada dadah sintetik. “Semua akan bergerak secara bersepadu dalam melaksanakan program pencegahan serta penguatkuasaan di beberapa lokasi sasaran terutama di kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jihad Dadah di Panggung Terbuka Gedong di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis ini ialah Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan merangkap Adun Gedong Datuk Mohd Naroden Majais.

Aidi berkata, Jihad Dadah digunakan sebagai satu terma atau tindakan yang bersungguh-sungguh dan komited dalam memastikan penagih dadah tegar terus berkurangan.

Katanya, ini kerana penagih tegar boleh mempengaruhi remaja atau mewujudkan penagih baharu untuk terus mengambil dadah walaupun mereka masih ada peluang dipulihkan melalui program pemulihan yang sedia ada.

Menurut Aidi, pendidikan merupakan salah satu mekanisme yang terbaik dalam menangani masalah dadah. “Kalau dilihat statistik tangkapan yang dilakukan JSJN Kontinjen Sarawak bagi tempoh Januari hingga November 2020 mengikut pecahan umur, tangkapan bagi kategori 30 tahun ke bawah paling tinggi dicatat iaitu 5,372 daripada 9,739 orang bersamaan 55.2 peratus.

“Jihad Dadah ini perlu digerakkan ke semua peringkat dengan diterajui PDRM sebagai badan penguat kuasa utama bersama-sama komuniti setempat serta pelbagai agensi yang terlibat.

“Marilah kita bersama-sama menjadikan kawasan kita termasuk di Gedong sebagai kawasan selamat, aman dan bebas daripada gejala dadah,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Kontinjen Sarawak, Asisten Komisioner Polis, Jasmirol Jamaluddin dan Pegarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Sarawak Wan Madihi Wan Salleh